Pulau Pinang terima penghantaran sebahagian 200,000 dos vaksin khas

Admin

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri hari ini menerima ketibaan sebahagian daripada keseluruhan 200,000 dos vaksin yang diluluskan khas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Pulau Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penghantaran pertama berjumlah 43,120 dos vaksin adalah melibatkan penghantaran ke lima daerah seluruh negeri ini.

 

“Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan seluruh rakyat Pulau Pinang khasnya populasi dewasa menerima suntikan imunisasi.

 

“Rakyat memerlukan vaksinasi lengkap sesegera mungkin kerana ini adalah perlindungan terbaik (untuk meningkatkan imunisasi badan).

 

“(Dan) saya berharap dengan bekalan vaksin (tambahan yang diterima), semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini dapat beroperasi sepenuhnya,” ujarnya sejurus hadir meninjau penghantaran bekalan vaksin berkaitan ke Klinik Kesihatan Bayan Baru dekat sini pagi ini.

BEKALAN vaksin yang diterima oleh Klinik Kesihatan Bayan Baru pada pagi ini.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Maarof Sudin dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKNPP, Dr. Rafidah Noor.

 

Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang bakal mencatatkan kadar pemberian vaksin lengkap (dua dos) sebanyak 60 peratus bagi populasi dewasa dalam tempoh dua hari lagi.

 

“Saya juga berharap kita (Pulau Pinang) dapat memenuhi sasaran 100 peratus populasi (dewasa) yang berdaftar divaksin bagi dos pertama dan 80 peratus bagi dos kedua pada bulan September ini demi mencapai matlamat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang turut menzahirkan penghargaan kepada KKM, JKNPP serta pihak lain yang terlibat sama dalam usaha ini.

 

MAAROF Sudin.

Nada sama turut dizahirkan oleh Maarof yang berharap agar tambahan bekalan vaksin yang diluluskan oleh KKM berkaitan dapat mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada populasi dewasa yang berdaftar di negeri ini.

 

Difahamkan, bekalan vaksin yang diterima hari ini akan diagihkan ke 17 stor simpanan vaksin yang mana 3,200 dos suntikan diserahkan kepada Klinik Kesihatan Bayan Baru di sini.

 

Dalam pada itu, Norlela ketika ditemui juga menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada KKM dan JKNPP kerana membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri.

 

“Selain bekalan vaksin tambahan, saya juga telah memohon kepada Menteri Kesihatan supaya membekalkan tambahan kakitangan klinikal dan bukan klinikal berdasarkan keperluan semasa di negeri ini.

 

“(Buat masa ini), matlamat (tambahan kakitangan) adalah untuk membantu supaya tidak ada kematian sebelum tiba di hospital (brought in dead, BID) bagi mereka yang kuarantin di rumah,” ulasnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN