Pulau Pinang terus komited perbaiki infrastruktur sekolah-sekolah Tamil, ikrar Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (tengah) diiringi P. Ramasamy memegang cek replika Peruntukan Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri 2022 bersama-sama para wakil sekolah Tamil, tadika di sekolah Tamil dan Sekolah Punjabi di sini tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini akan terus berusaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif membabitkan sekolah-sekolah Tamil, tadika di sekolah Tamil serta (sekolah) Punjabi di negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, langkah menyalurkan peruntukan RM2.39 juta sebagaimana diumumkan kini adalah seperti tahun-tahun sebelum ini iaitu merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan modal insan berkemahiran tinggi serta diperlukan dalam ekonomi negeri.

CHOW Kon Yeow

Di samping itu, menurut beliau, langkah tersebut juga adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri demi mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai ‘Lembah Silikon Timur’.

“Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan Negeri masih mengekalkan jumlah sumbangan peruntukan RM2 juta kepada sekolah tamil; tadika di sekolah Tamil (RM150,000), sekolah Punjabi (RM90,000) dan Peruntukan Tabung Khas Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil (RM150,000).

“(Secara umum), peruntukan bantuan kewangan diagihkan berlandaskan keperluan dan jumlah yang diterima adalah berbeza bagi setiap sekolah (berkenaan),” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 7 Mac 2022.

P. Ramasamy semasa menyampaikan ucapan dalam majlis berkaitan tadi.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi serta Datuk Dr. K. Ambalakan (Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang) turut berucap pada majlis sama.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshel.

Menurut Kon Yeow, beliau berharap pentadbirannya masih mampu merosotkan lagi kadar pengangguran semasa negeri, sungguhpun Pulau Pinang sehingga Ogos 2021 merupakan antara enam negeri mencatatkan kadar pengangguran yang rendah iaitu antara 3.5 sehingga 3.9 peratus.

“Berdasarkan pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang dari Januari 2020 hingga Mac 2021, dianggarkan sebanyak 15,596 peluang pekerjaan akan diwujudkan di negeri ini secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

“Jadi, di Pulau Pinang bukan ‘orang’ (tenaga buruh) cari pekerjaan tetapi pekerjaan yang mancari ‘orang’,” selorohnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Demi memenuhi permintaan sektor pekerjaan pada masa hadapan di negeri ini, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong berkata bahawa pentadbirannya berharap isu kebanyakan sekolah Tamil tidak dilengkapi dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk tujuan pembelajaran dalam talian harus terus diperbaiki, kini.

Ramasamy yang berucap sebelum pada itu antara lain turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pentadbiran Kon Yeow memperuntukkan tapak baharu seluas 2.36 ekar untuk Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil (SJKT) Rajaji.

“Tapak baru ini akan diagihkan kepada Lembaga Pengelola SJKT Rajaji selepas beberapa prosedur tanah adalah diselesaikan,” jelasnya yang juga ADUN Perai.

Sementara itu, Anbalakan pula dalam ucapannya berkongsi kebimbangan mengenai trend kemasukan pelajar ke sekolah-sekolah Tamil sedia ada yang kian merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Ramasamy turut mengulas mengenai kadar pengangguran semasa di negeri ini yang kian merosot berbanding negeri-negeri lain.

“(Antara) sebab kadar pengangguran di Pulau Pinang begitu rendah adalah kerana kita (Pihak Berkuasa Negeri) senantiasa berusaha melindungi hak-hak pekerja.

“Dan, apa yang menarik perhatian kita sebenarnya adalah untuk terus mempertahankan hak-hak pekerja (dalams sektor perindustrtian) di negeri ini,” ulasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD