Pulau Pinang terus ‘lawan’ COVID-19

Admin

LAWAN COVID-19…. Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang berlangsung hari ini adalah bagi terus menyelia, memantau dan menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mempengerusi mesyuarat tersebut sebentar tadi berkata bahawa secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan komitmen semua agensi keselamatan dalam menguatkuasakan perintah pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu sehingga kini.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dari semasa ke semasa khususnya bagi mencapai sasaran kepatuhan secara konsisten sehingga perintah (PKP) ini tamat pada 14 April nanti,” tegasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Zakiyuddin Abdul Rahman; Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II); Yeoh Soon Hin (Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan); Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar); Teh Lai Heng (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Komtar) dan Dato’ Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri).

Turut menganggotai mesyuarat khas itu adalah agensi-agensi di peringkat negeri dan Persekutuan yang terdiri daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN