Pulau Pinang tetapkan dua kadar zakat fitrah RM7 dan RM16

Admin

SEBERANG JAYA – Dua kadar zakat fitrah ditetapkan bagi negeri Pulau Pinang pada tahun ini iaitu RM7 dan RM16 mengikut kemampuan individu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, penetapan dua kadar zakat fitrah adalah bagi memberi peluang kepada umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan kewajipan membayar pada kadar lebih tinggi iaitu RM16 seorang.

“Bagi mereka yang kurang berkemampuan boleh membayar zakat fitrah pada kadar RM7 seperti tahun lepas.

“Jangkaan kutipan zakat fitrah bagi Pulau Pinang tahun ini dianggarkan RM7 juta dengan mengambil kira golongan yang berkemampuan membayar pada kadar yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media dekat Wisma Zakat Pulau Pinang (ZPP) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri I, menjelaskan bahawa MAINPP juga sedar dalam keadaan penularan wabak koronavirus (COVID-19) ketika ini telah memberi kesan terhadap sebahagian umat Islam di negeri ini terutamanya mereka yang mempunyai tanggungan ramai.

“Bagi mereka yang terjejas boleh membayar zakat fitrah mengikut kemampuan bilangan tanggungan dengan kadar RM7 seorang.

“Sebagai contoh, sekiranya seorang ketua keluarga mempunyai tujuh orang tanggungan di bawahnya, tetapi keadaan ekonomi keluarga semasa menyukarkan beliau untuk membayar RM56, maka dia boleh mengutamakan beberapa orang tanggungan terlebih dahulu,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa zakat fitrah perlu dibayar kepada amil yang sah dan dilantik oleh MAINPP mengikut Seksyen 16, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.

“Tahun ini, seramai 1,755 amil dilantik oleh MAINPP membabitkan 239 kariah,” ujarnya.

Katanya lagi, sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga Ramadan, pihaknya menggalakkan orang ramai membayar zakat secara dalam talian seperti Snap N Pay, JomPay dan beberapa kaedah digital lain yang akan diumumkan kelak.

“Kita (ZPP) masih tetap meraikan kaedah pembayaran secara konvensional namun ia akan dilakukan dengan beberapa ketetapan agar mematuhi PKP seperti mengamalkan jarak sosial.

“Kita juga akan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencari tempat yang sesuai dan tatacara tepat untuk dijadikan panduan bagi menjamin keselamatan amil serta pembayar zakat,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD