Pulau Pinang tetapkan KPI untuk Ahli Majlis PBT

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk barisan Ahli Majlis bagi kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata demikian semasa berucap dalam Kursus Induksi Majlis PBT Negeri Pulau Pinang 2021 di sini pagi ini.

Menurutnya, kehadiran ke mesyuarat dan program jabatan; penganjuran program kebersihan dan pengurusan aduan awam merupakan tiga KPI yang akan dinilai pada diri tiap-tiap Ahli Majlis PBT yang dilantik.

“Pelaksanaan KPI ini dapat memastikan tugas dan peranan seseorang Ahli Majlis dilaksanakan dengan baik dan sempurna…(selain) mengukur prestasi kerja (mereka),” jelasnya menerusi kenyataan media bertarikh 4 Mac kepada Buletin Mutiara.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod turut sertai acara ringkas tersebut.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Dasar dan Pengurusan Strategik Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Dr. Ani Ahmad dan Nur’Aishah Md. Norodin (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan).

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa pelaksanaan sistem KPI ini dapat mendorong semua Ahli Majlis untuk saling memberi maklum balas dengan lebih erat kepada semua pihak berkepentingan.

“Ahli Majlis haruslah sentiasa ‘engage’ (melibatkan diri), ‘people- centric’ (memfokuskan keperluan rakyat) dan sentiasa dekat dengan rakyat; serta tanggungjawab yang dipikul ini tidak seharusnya diambil mudah,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep turut menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan terbaru semalam iaitu sebanyak 80,336 dos vaksin telah diberikan ke seluruh negara, dengan sejumlah 2,914 dos di Pulau Pinang.

“Pendaftaran MySejahtera bagi penerimaan vaksin ini pula telah mencapai 1.77 juta (seluruh negara), semalam.

“Ini, merupakan berita baik dan kita perlu terus menjalankan amanah kita dengan memberi pendidikan berterusan kepada rakyat berhubung kebaikan menerima vaksin ini,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB