Pulau Pinang tingkatkan kawalan kesihatan awam elak risiko varian Delta – Jagdeep

Admin
SEJAK semalam semua operasi perniagaan di Pasar Awam Taman Bagan ditutup sementara untuk kerja-kerja sanitasi dan kawalan wabak berkaitan di sini.

BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan langkah penguatkuasaan berkaitan kawalan kesihatan awam memandangkan varian Delta yang mampu merebak begitu cepat melalui udara direkodkan di Pulau Pinang.

JAGDEEP Singh Deo

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa penutupan Pasar Awam Taman Bagan sejak semalam bukan untuk tujuan kerja-kerja sanitasi sahaja, bahkan untuk mengelak risiko perebakan virus berkenaan kepada orang awam.

“Seperti negeri-negeri lain juga, sekarang sudah sampai varian baharu Delta di Pulau Pinang.

“Saya ingin lebih tegas, jangan lagi leka, ia (varian Delta) sudah ada dalam udara.

“Bukan senang (untuk meningkatkan langkah penguatkuasaan, tetapi saya tidak mahu ia (varian berkenaan) dalam kalangan kita,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat semasa membuat tinjauan ke Pasar Awan Taman Bagan di sini pada 4 September 2021.

SR. Rozali Mohamud

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor turut serta dalam tinjauan tersebut.

Pada 13 Julai lepas, dilaporkan varian baharu Delta sudah merebak hampir ke setiap negeri, menyebabkan berlakunya peningkatan kes mendadak di negara ini.

Memetik sumber berita arus perdana, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata bahawa varian berkenaan merebak dengan cepat dengan nilai kebolehjangkitan (Rt.) antara 5 hingga 8, berbanding virus COVID-19 pertama yang dikesan di Wuhan, China iaitu nilai Rt. sekitar 2.5 hingga 3.

Menurut Jagdeep, kes baharu positif COVID-19 yang direkodkan semalam di negeri ini adalah sebanyak 1,726 kes; kes aktif (9,701) dan kematian (38).

“Di Pulau Pinang kita melihat (kes harian positif COVID-19) dalam angka 4 digit sudah berapa lama, ini saya tidak boleh ‘tahan’ sekarang.

“Langkah penutupan pasar awam ini bukan senang untuk dibuat, apabila ada kes, kita akan tutup operasi untuk hentikan rantaian perebakan (COVID-19),” tegasnya sambil menyatakan empeti kepada peniaga yang terjejas pendapatan apabila satu-satu pasar awam ditutup sementara untuk satu tempoh tertentu.

Ulasnya lagi, Kerajaan Negeri akan melaksanakan sebarang langkah penguatkuasaan secara tegas sekiranya perlu demi memastikan keselamatan dan kesihatan awam penduduk Pulau Pinang terjamin.

Difahamkan, penutupan Pasar Awam Taman Bagan melihatkan 39 peniaga kecil.

Untuk rekod, sehingga kini 11 pasar awam di bahagian Seberang Perai pernah ditutup sekali atau dua kali apabila terdapat kes positif COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS