Pulau Pinang tunai 90% janji manifesto 2018, Saya ❤️ Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berjaya melaksanakan 90 peratus daripada 68 janji yang terkandung di dalam manifesto pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebanyak 54 perkara yang dijanjikan dalam manifesto kepada rakyat Pulau Pinang pada tahun 2018 berjaya ditunaikan oleh Kerajaan Negeri setakat ini.

Menurut beliau, sebanyak 12 janji masih pada peringkat pelaksanaan manakala dua lagi tidak akan dijalankan ekoran berlaku pertindihan dengan program Kerajaan Persekutuan.

Chow Kon Yeow semasa membentangkan pencapaian manifesto 2018 Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebentar tadi.

“Empat tahun lalu, 9 Mei merupakan tarikh keramat yang mana rakyat Pulau Pinang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kita (Pakatan Harapan).

“Dengan tekad bersama, kita telah membentuk sebuah Kerajaan Negeri berkebajikan yang terus meletakkan kepentingan rakyat negeri ini sebagai suatu keutamaan.

“Selepas genap empat tahun, hasil titik peluh dan komitmen bersama, hari ini kita telah berjaya mencapai 90 peratus daripada jumlah manifesto secara keseluruhannya,” katanya semasa membentangkan pencapaian manifesto 2018 dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus; barisan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan barisan Ahli Parlimen.

Pemangku Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Pengerusi Parti AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr. Roslan Ahmad dan wakil-wakil parti komponen Pakatan Harapan juga turut hadir.

Kon Yeow berkata, baki 10 peratus janji manifesto yang belum ditunaikan akan diusahakan dalam tempoh setahun lagi sebelum pilihan raya umum diadakan.

“Walau bagaimanapun, terdapat beberapa janji yang memerlukan pelaksanaan dalam jangka masa panjang seperti projek-projek melibatkan infrastruktur.

Buku pencapaian manifesto 2018 yang akan diedarkan kepada rakyat Pulau Pinang.
Antara barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang hadir.

“Namun begitu, projek-projek ini akan dikira sebagai telah ditepati apabila ia sudah dilancarkan kelak,” ujarnya semasa membentangkan pencapaian manifesto 2018 dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata antara janji yang berjaya ditunaikan termasuklah mengehadkan jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal melalui pindaan Perkara 7, Klausa 2(a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang pada 16 November 2018.

Selain itu beliau menyatakan bahawa Ketua Pembangkang juga telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) melalui usul oleh Ketua Menteri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 10 Ogos 2019.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tanpa Teguran bagi tiga tahun berturut-turut mulai 2018 hingga 2020.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan prestasi kewangan serta aliran tunai bagi tahun berkenaan adalah stabil dan kukuh,” ulasnya.

Tambah Kon Yeow, beberapa lagi janji yang berjaya ditunaikan adalah merangkumi program kebajikan, sukan dan pelancongan, penyediaan rumah mampu milik, meningkatkan kemudahan asas, pembangunan pendidikan, memartabatkan agama Islam serta membentuk masyarakat harmoni.

Hadirin meneliti pencapaian manifesto 2018 Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Saya percaya bahawa pencapaian ini mampu meningkatkan keyakinan rakyat Pulau pinang bahawa kita sebuah Kerajaan Negeri yang boleh dipercayai untuk terus meletakkan negeri ini pada tahap yang lebih cemerlang serta gemilang.

“Justeru, saya menyeru kepada barisan Exco, ADUN-ADUN, Ahli Parlimen dan semua untuk terus melangkah dengan berani demi membantu rakyat.

“Jangan sesekali bersikap sambil lewa, ambil mudah dan lalai dalam memperjuangkan pentadbiran yang cekap, akauntabiliti dan cekap (CAT), kebajikan rakyat, kelengkapan infrastruktur demi keselesaan semua,” serunya.

Terdahulu, semasa membentangkan pencapaian tersebut, Kon Yeow menjelaskan bahawa Manifesto 2018 bertemakan Saya ❤️ Pulau Pinang merangkumi 11 tema utama iaitu pentadbiran Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT); Perumahan untuk semua; Negeri Keusahawan; Meningkatkan Kemudahan Asas; Negeri Hijau; Pembangunan Pendidikan dan Kemahiran; Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Sukan; Negeri Berkebajikan; Memartabatkan Islam serta Masyarakat Majmuk yang Harmoni.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : LAW SUUN TING