Pulau Pinang tuntut layanan lebih adil – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mendesak Kerajaan Persekutuan untuk memberikan layanan lebih adil kepada negeri Pulau Pinang supaya rakyat di negeri ini dapat menerima manfaat pembangunan yang sewajarnya.

Beliau berkata, walaupun Pulau Pinang menjadi antara negeri tertinggi yang menyumbang kepada jumlah pelaburan serta Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, namun sumbangan dan usaha Kerajaan Negeri tidak diberikan ganjaran setimpal oleh Kerajaan Persekutuan.

“Hampir kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Dewan yang mulia ini bersetuju dan merasakan bahawa negeri Pulau Pinang telah dianaktirikan daripada manfaat pembangunan.

“Apa yang dimohon oleh Kerajaan Negeri adalah bukan layanan istimewa, sebaliknya layanan yang adil daripada Kerajaan Persekutuan supaya rakyat di negeri ini dapat menikmati manfaat daripada pembangunan negara,” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Justeru menurut beliau, sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang bertujuan untuk mengenal pasti isu melibatkan hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri termasuk pengagihan sumber yang lebih saksama.

“Laporan yang disediakan oleh jawatankuasa ini telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri dan Jawatankuasa Penambahbaikan Persekutuan-Negeri di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri berharap agar cadangan yang diberikan tersebut akan mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan negeri Pulau Pinang khasnya,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam pada itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa hanya enam daripada 111 projek yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2022 telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, mengambil kira sumbangan nilai ekonomi negeri kepada negara ini, Pulau Pinang sepatutnya layak dipertimbangkan lebih banyak projek untuk dilaksanakan bagi manfaat rakyat,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Pulau Pinang mencatatkan nilai eksport berjumlah RM310 billion pada tahun 2020 yang mewakili 32 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan negara.

“Malah, Pulau Pinang juga telah menjana RM110 bilion nilai lebihan dagangan pada tahun yang sama walaupaun kita merupakan antara negeri terkecil di Malaysia,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IIRSYAD OMAR & AHMAD ADIL MUHAMAD