Pulau Pinang tutup ladang kedua ekoran positif ASF – Pengarah Veterinar Negeri

KETUA Menteri sendiri turut menyertai mesyuarat berkaitan di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan dekat Jawi menjelang tengah hari tadi.

BUKIT TAMBUN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang pada pagi tadi menutup sebuah lagi ladang ternak babi di Perkampungan Valdor ekoran terdapat kes baharu positif Demam Babi Afrika (ASF) di sana.

DR. Saira Banu Mohamed Rejab

Pengarah Veterinar Negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab memberitahu bahawa kes baharu itu menjadikan dua kes terkumpul positif ASF setakat ini.

“Apabila kita (JPV) mendapat keputusan positif (ASF) pada pagi tadi, kita terus arah tutup operasi ladang tersebut.

“Setakat ini, terdapat dua (kes) positif ASF ditemukan, jadi tindakan daripada JPV adalah sama iaitu akan tutup ladang, tindakan pelupusan (binatang ternakan) dan kesan pergerakan (lori pengangkutan ternakan supaya tidak rentas daerah atau negeri),” jelasnya selepas selesai mesyuarat berkaitan di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan dekat sini pada 7 Januari 2023.

Hadir sama pada mesyuarat berkaitan ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow serta Pegawai Daerah SPS, Marlia Mohd Belia.

Di samping itu, Saira Banu juga memberitahu bahawa setakat ini, JPV Negeri berjaya mengenal pasti kes positif APF membabitkan ladang-ladang tertentu, namun punca asal rebakan wabak tersebut ke daerah ini masih dijejakkan.

“Kita agak mungkin (punca penularan wabak) adalah disebabkan lori penangkap babi dan juga lori pengangkutan yang menghantar babi ke rumah sembelihan,” responsnya.

Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, Saira Banu menyatakan bahawa pada peringkat JPV Negeri, sejak tahun 2021 lagi telah membuat taklimat berwajib termasuk mengenai risiko penularan wabak ASF kepada semua penternak babi di negeri Pulau Pinang.

“Kita memang senantiasa memperingatkan mereka (para penternak babi berkenaan) supaya menguatkan polisi biosekuriti dengan menggunakan ‘vehicle deep’ atau ‘vehicle spread’, pastikan semua kenderaan pengangkutan keluar masuk dicuci.

“Di samping itu, kita (JPV negeri) sedang menguatkuasakan Enakmen Penternakan Babi 2016 supaya para penternak babi mengubah corak ladang mereka dari ladang terbuka kepada ladang ternak tertutup,” ujarnya.

Difahamkan, kes pertama positif ASF dikenal pasti di ladang ternak babi yang beroperasi tanpa lesen, manakala kes kedua pula di ladang yang beroperasi dengan lesen bersyarat serta dalam proses penukaran kepada ladang ternak tertutup.

Berdasarkan data bancian JPV negeri, terdapat 124 ladang ternak babi di Pulau Pinang.

Daripada jumlah itu, mengikut daerah di sini, terdapat 42 ladang di Valdor, Lima Kongsi (4), Jawi (6), Simpang Ampat (4), Sungai Bakap – Wellesley (6) dan Nibong Tebal (1).

“Kalau ikut data bancian terbaru, jumlah binatang ternakan babi di negeri Pulau Pinang adalah berjumlah 267,348 ekor,” ulasnya sambil memberitahu Tahap Sara Diri (SSL) lebih 150 peratus.

Selain itu, Saira Banu turut berkongsi beberapa inti penting mesyuarat menjelang tengah hari tadi yang mana walaupun sesetengah pihak menganggap dua terkumpul positif ASF di Pulau Pinang tidak boleh diisytiharkan sebagai bencana kerana tidak melibatkan nyawa manusia, tetapi Ketua Menteri menganggap ia merupakan ‘bencana’ di kawasan Valdor.

“Ini kerana, ia melibatkan banyak ladang dan populasi ternakan adalah hampir 139,000 ekor di kawasan Valdor sahaja,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa ASF tidak akan mengancam nyawa manusia.

Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu bahawa Perintah Kawalan Kawasan Penyakit Negeri Pulau Pinang di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) telah dibuat serta dilaksanakan apabila kes pertama positif ASF disahkan di negeri ini pada 3 Januari 2023.

“Apabila kita (JPV negeri) dapat tahu ada kes positif (ASF) ini, kita terus laksanakan perintah ini.

“Perintah ini perlu diuar-uarkan kepada orang awam untuk mengelak risiko panik,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dengan diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik turut meninjau kedua-dua ladang yang mempunyai rekod positif ASF di Perkampungan Valdor.

Buletin Mutiara difahamkan mesyuarat susulan berkaitan langkah-langkah kawalan wabak ASF ini akan dilaksanakan di Komtar, George Town secara langsung di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada pagi esok.

KETUA Menteri (dua dari kanan) turut mendapatkan maklum balas daripada para pemegang taruh semasa meninjau kawasan wabak di Kampung Valdor di sini pada petang tadi.

Dalam sidang media berasingan di Kampung Valdor, Kon Yeow memberitahu bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar telahpun diarahkan menggerakkan sumber-sumber pada peringkat negeri bagi mengawal wabak tersebut, dalam mesyuarat susulan esok.

“Jadi setelah mendengar taklimat dan perbincangan agensi-agensi, saya merasakan pengurusan ‘bencana’ ini perlu dipertingkatkan dari peringkat daerah ke peringkat negeri, sebab, dijangka akan perlu menggembleng banyak sumber-sumber, jentera, pekerja-pekerja.

“Setiausaha Kerajaan Negeri diarahkan untuk menggerakkan jentera negeri dan mesyuarat esok diadakan bagi melihat semua persiapan-persiapan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sambil mengumumkan Dewan MPKK Kampung Valdor di sini akan dijadikan Pusat Operasi Lapangan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI