Pulau Pinang utus surat kepada KPKT mohon semak semula polisi PPR terbaru

TANJUNG BUNGA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengutus surat rasmi kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam waktu terdekat, berhubung makluman bahawa Kerajaan Persekutuan tidak lagi akan meneruskan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, surat rasmi tersebut adalah sebagai respons tidak bersetuju Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap pemakluman terkini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung polisi perumahan negara.

“Pada 20 Ogos lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow telah menerima sepucuk surat daripada KPKT yang memaklumkan perkembangan terbaru polisi perumahan negara yang mana dinyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan meneruskan lagi PPR pada masa hadapan.

“Hal ini kerana, bagi pembinaan (unit-unit PPR) ia menelan kos yang banyak, (namun) saya berpandangan bahawa menjadi tanggungjawab sosial (Kerajaan Persekutuan) kepada rakyat untuk menyediakan unit-unit (PPR) ini.

“Saya khuatir dengan perkembangan terbaru ini, tiada lagi rumah PPR untuk rakyat yang mana sebelum ini kita (Pulau Pinang) sangat mengalu-alukan (pembinaannya) sejak sekian lama,” katanya kepada pemberita sejurus mengadakan tinjauan ke projek penempatan semula penduduk di Pangsapuri Warisan Tanjung dekat sini pagi ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, lazimnya pembangunan rumah bagi PPR adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Manakala, Kerajaan Negeri akan mencari dan menyediakan tapak yang bersesuaian untuk dibangunkan rumah PPR.

“Kita (Pulau Pinang) sudahpun memberikan senarai tapak yang bersesuaian untuk dibangunkan rumah PPR di kelima-lima daerah di negeri ini.

“Malah, pihak KPKT sendiri ‘turun padang’ untuk melihat sendiri (salah satu) tapak cadangan PPR di Jelutong tahun lalu.

“(Lagipun), saya berpendapat bahawa sebagai (salah sebuah negeri) pembayar cukai kepada Kerajaan Persekutuan, seharusnya sebahagian daripada cukai tersebut ‘diasingkan’ untuk tujuan perumahan rakyat,” ujarnya.

Dalam masa sama, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat secara peribadi, tidak bersetuju dengan makluman tersebut.

“Saya tidak setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Menteri kerana ada kategori rakyat yang sememangnya langsung tidak dapat akses pun rumah kos rendah terutamanya mereka yang (dalam kalangan) B40.

“(Dan) makluman tersebut juga bertentangan dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi keutamaan dalam pembekalan rumah mampu milik.

“Oleh itu, saya akan meminta supaya Ketua Menteri dapat memberi respons dan mengambil kira pandangan saya sebagai Exco (Perumahan) berhubung hal ini dengan meminta KPKT menyemak semula,” jelasnya.

Terdahulu, Jagdeep memberitahu antara cadangan yang diberikan oleh KPKT adalah dengan meminta Kerajaan Negeri menawarkan Request For Proposal (RFP) kepada pihak pemaju swasta untuk membangunkan rumah PPR.

Unit-unit yang telah siap dibina kemudiannya dijual pada harga antara RM90,000 sehingga RM300,000 berdasarkan mekanisme kewangan yang masih dalam perbincangan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN