Pulau Tikus jadi perintis Zero Waste District di Malaysia

Admin
9639eac6 3da7 487c 9f09 9d150c3a3741

GEORGE TOWN– Pulau Tikus dipilih sebagai kawasan perintis Zero Waste District di Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan pengurusan sisa bandar yang lebih mampan menerusi pengurangan sisa dari punca.

b5fbfceb 0458 471c 98e5 bb25d3e3a97b

Menurut Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Koay Gaik Kee, pengumuman sempena International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2026 itu merupakan satu tanggungjawab untuk memastikan komitmen terhadap kelestarian diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam kehidupan masyarakat.

“Pengiktirafan MBPP sebagai salah satu daripada Top 20 Cities Towards Zero Waste 2026 oleh United Nations Secretary-General’s Advisory Board on Zero Waste turut mengukuhkan komitmen ke arah pengurusan sisa yang lebih berkesan.

5bc38d8b 9876 49c4 8900 23ef18bff5d5

“Cabaran kita sekarang ialah bergerak selangkah ke hadapan, daripada sekadar mengutip dan melupuskan sampah kepada mengurangkan sisa yang dihasilkan sejak dari puncanya,” ujarnya pada ucapan penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2026 di Dewan Perbandaran Padang Kota, kelmarin.

Tambah beliau, sebanyak 267,595.94 tan sisa dihantar ke tapak pelupusan pada 2025, manakala MBPP membelanjakan RM59.49 juta bagi logistik, pemindahan sisa, pelupusan akhir dan pembersihan awam.

Laporan Tahunan MBPP 2025 turut merekodkan purata kira-kira 733 tan sisa pepejal sehari dihantar dari Pulau Pinang ke Tapak Pelupusan Pulau Burong.

“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa pendekatan pengurusan sisa perlu memberi keutamaan kepada pencegahan sisa, pengasingan di punca, guna semula, kitar semula dan pemulihan sisa organik, khususnya sisa makanan yang boleh menghasilkan gas metana apabila terurai di tapak pelupusan.

“Bagi memastikan inisiatif itu memberikan hasil yang boleh diukur, saya mengemukakan tiga cadangan utama, iaitu penetapan data asas dan sasaran pengurangan sisa, pelaksanaan pendekatan bersasar mengikut sektor serta pengukuhan penglibatan komuniti dan pemantauan berterusan,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut Gaik Kee memaklumkan, pasar awam, premis makanan dan minuman, hotel serta pusat komersial wajar diberi perhatian pada peringkat awal berdasarkan potensi penghasilan sisa organik, selain penyediaan kemudahan pengasingan yang mudah digunakan dan jadual kutipan yang jelas.

Pada masa sama, kerjasama antara MBPP, penduduk, peniaga, pengurusan bangunan, sekolah, kontraktor kutipan dan rakan industri perlu diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan secara berterusan.

“Saya juga ingin mencadangkan penglibatan sekolah dan golongan muda menerusi aktiviti audit sisa, kempen mengurangkan pembaziran makanan serta pendidikan kitar semula bagi membentuk amalan lestari sejak awal.

“Konsep Zero Waste bukan bermaksud semua sisa dapat dihapuskan dalam masa yang singkat, sebaliknya perubahan secara berperingkat untuk mengurangkan penghasilan sisa, memaksimumkan pemulihan sumber dan meminimumkan pelupusan akhir,” katanya.