Sumbangan oxygen concentrators kepada pesakit perlu

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa sumbangan alat saringan oksigen (oxygen concentrators) mampu menyelamatkan banyak nyawa yang menderita akibat COVID-19.

 

Menurut beliau, kini terdapat sesetengah kes yang mana pesakit COVID-19 meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital kerana mengalami kekurangan oksigen.

 

“Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menasihatkan supaya rumah-rumah yang ada kes kuarantin perlu ada pulse oximeter sebagai satu ukuran tahap oksigen dalam badan.

“Dengan oxygen concentrator, maka ia dapat bekalkan oksigen kepada pesakit, justeru, pada hari ini, kita menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu D’ Home Mental Health Association diwakili Presidennya, Dato’ Seri Leslie Lee Kim Guan dan isteri, Doris Neoh Guan Eng dengan sumbangan 16 unit peralatan berkaitan bernilai RM20,320 yang akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk kegunaan di hospital-hospital negeri ini.

 

“Serentak itu, turut diterima adalah sumbangan 10 unit peralatan serupa bernilai RM12,700 daripada Pertubuhan Pengajian Tao Tong Her kepada PgCare Alliance (Gabungan PgCare),” ujarnya ketika menyaksikan sumbangan dekat Komtar di sini tadi.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khidmat Pengurusan JKNPP, Siti Norbaya Kamaludin; Ketua Penolong Pengarah Cawangan Medico Legal Bahagian Perubatan JKNPP, Dr. A. Lingesh; Head of Outreach Response Team PgCare Alliance, Dr. Ngoo Seong Boon serta Datuk Florence Sinniah dan wakil Pertubuhan Pengajian Tao Tong Her, Teh Siew Hoon serta Quah Guat Phaik.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sesetengah pesakit COVID-19 turut berada pada tahap mental yang lemah hingga mendorong untuk mengambil tindakan bunuh diri.

 

“Sebagaimana dimaklumkan Dato’ Seri Leslie (Kim Guan), keadaan mental lemah hingga ada niat bunuh diri, salah satu sebabnya adalah kesukaran bernafas, tidak cukup oksigen.

 

“Justeru, melalui kaunseling dan bantuan oxygen concentrators yang boleh dipinjamkan kepada golongan pesakit ini, mereka akan berasa adanya harapan yang mana pendekatan ini merupakan kerja murni, sukar dan mencabar, namun merupakan sesuatu yang perlu dibuat,’’ jelasnya.

 

Kon Yeow dalam pada itu berharap lebih banyak badan-badan korporat di Pulau Pinang tampil bersama-sama membantu JKNPP menyediakan kemudahan kesihatan lengkap bagi menghadapi pandemik COVID-19.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : DARWINA MOHD. DAUD