Punca kejadian jalan berlubang ‘besar’ belum dikenal pasti – Ahli Majlis MBSP

SEBAHAGIAN jalan berlubang 'besar' di Jalan Bagan Lalang, Butterworth telahpun ditutup oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak petang semalam.

BAGAN DALAM – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Indah Water Konsortium Sdn. BHd. (IWK) akan cuba mengenal pasti punca sebenar kejadian jalan berlubang di Jalan Bagan Lalang dekat Butterworth pada petang semalam.

TAN Chee Teong

Mengulas lanjut, Ahli Majlis MBSP, Tan Chee Teong memberitahu bahawa pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan alternatif yang disediakan iaitu Jalan Mesra 3 sepanjang tempoh penutupan sebahagian Jalan Bagan Lalang.

“Sekitar pukul 3 petang semalam, penduduk tempatan menyedari struktur jalan raya tersebut tenggelam sedikit, setengah jam kemudian struktur jalan raya itu runtuh dan berlubang besar.

“Sejak petang semalam jalan lencongan telah dibuat, tetapi kenderaan ringan sahaja boleh menggunakan jalan alternatif tersebut.

“Pada hari ini, IWK akan buka sebahagian tanah untuk mengenal pasti punca kejadian (jalan berlubang) tersebut,” jelasnya kepada wartawan Buletijn Mutiara pada 3 Oktober 2022.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ENG KOK WEI