PEPATAH ‘pungguk rindukan bulan’ sangat sinonim dengan sastera Melayu, maka tidak hairanlah burung tersebut sangat dekat dalam kalangan masyarakat sehingga mampu ‘bantu’ pesawah.
Namun lain ceritanya apabila Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Universiti Sains Malaysia (USM) menggunakan pungguk jelapang sebagai kawalan haiwan perosak tikus di kawasan sawah dan kelapa sawit.
Atas manfaat rantaian biologi semula jadi itu, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama M. DANESWARAN sempat mendekati Ketua Projek BORG, Prof. Madya Dr. Hasber Salim untuk mengetahui lebih lanjut.
Membuka bicara, Hasber memaklumkan bahawa diet semula jadi pungguk jelapang 99 peratus terdiri daripada tikus.
“Namun habitat asal pungguk jelapang selalunya jauh dari sawah, seperti dalam hutan, jadi di sini tugas BORG adalah memastikan burung ini boleh tinggal di kawasan sawah untuk mengawal populasi tikus.
“Satu keluarga pungguk jelapang sebagai pemangsa, mampu makan sehingga 3,000 ekor setahun menjadikan ia adalah kawalan alternatif kepada tikus lebih berkesan, bersih dan semula jadi berbanding racun yang ada kesan sampingan.
“Data yang kita kumpul adalah melalui muntah burung itu sendiri, sebab apabila memakan tikus, dia tidak mampu hadam semua seperti tulang, jadi sampel-sampel tersebut kita kumpul sebagai bukti keberkesanan kaedah ini,” ujarnya dalam satu temu bual di Pusat Sains Kajihayat USM di sini pagi tadi.
Tambah Hasber, sebelum ini kajian sama pernah dilakukan pada tahun 1980-an dan 1990-an namun kurang keberkesanan dan tidak sistematik.
“Maka tahun 2014 kita mulakan kajian terperinci melibatkan tingkah laku pungguk jelapang, kajian sarang yang betul untuk pungguk jelapang tinggal, termasuk satu sarang (satu keluarga) yang mampu kawal keluasan hingga lima hingga 10 hektar.
“Satu sarang mampu dihuni enam hingga 12 ekor pungguk jelapang dan mengeluarkan enam hingga lapan biji setiap kali bertelur.
“Biasanya haiwan ini sangat setia dengan pasangan, kalau salah satu daripadanya mati, maka pasangan dia akan jadi tekanan dan mungkin akan mati juga,” maklum Hasber yang merupakan anak jati Sabah.
Menyentuh mengenai projek perintis di Paya Keladi, Seberang Perai Utara, Hasber memaklumkan bahawa BORG mendapat geran bernilai USD10,000 daripada Global Finding iaitu sebuah badan berpangkalan di Amerika Syarikat.
Melalui projek tersebut, seramai 20 orang pesawah tempatan terlibat dengan dana pemasangan nest box atau sarang burung tiruan itu direka agar sesuai dihuni pungguk jelapang.
Sarang burung tiruan ciptaan mempunyai ukuran dan material bersesuaian dengan fizikal pungguk jelapang.
Difahamkan, tinggi lantai ke pintu masuk adalah 15 sentimeter, turut disediakan ‘beranda’ kepada pungguk jelapang.
“Rekaan ini lebih sesuai terutamanya melibatkan melindungi diri daripada haiwan pemangsa lain seperti ular sekiranya cuba untuk menyerang sarang tersebut.
“Beranda pula berfungsi sebagai ‘tempat latihan’ kepada anak-anak pungguk jelapang sebelum matang dan boleh terbang.
“Kalau tidak, apabila dia keluar sahaja, berisiko untuk terus jatuh dan mati atau terus dimakan pemangsa lain pula,” maklum Hasber lagi.
Bercakap mengenai cabaran, Hasber berkata penggunaan racun oleh pesawah menjadi aspek utama kerana ia secara langsung mampu mengganggu keberkesaan projek BORG.
“Apabila pesawah masih menggunakan racun kita, bimbang ia akan mengganggu kawalan biologi ini, kerana kalau pungguk jelapang ini makan tikus yang diracun, ia pun akan mati.
“Kita tidak boleh larang secara terus kepada pesawah, tetapi kena yakinkan mereka nasihat secara baik.
“Ada yang tanya kenapa pungguk jelapang, bukannya helang atau lain-lain, jawapan yang utama sebab tikus dan pungguk jelapang keluar waktu malam dan diet dia memang tikus.
“Berbanding helang, ia memakan haiwan atau menjadi pemangsa kepada binatang lain seperti ikan jadi keberkesanan terhadap tikus akan terganggu,” ulasnya lagi.
Terkini, projek yang bermula di Paya Keladi difahamkan sudah ‘dihuni’ oleh pungguk jelapang dan keberkesanan jangka pendek sekurang-kurangnya dapat dilihat beberapa bulan akan datang.
Menyentuh tentang harapan, Hasber berharap, projek ini dapat diperluaskan lagi dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan agar kawalan makhluk perosak seperti tikus dapat dilakukan lebih efisien.