Pupuk nilai murni dan keyakinan kanak-kanak melalui bercerita

Admin

GEORGETOWN – Nilai murni dan keyakinan dalam diri kanak-kanak dapat dipupuk melalui bercerita.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, kemahiran komunikasi dalam ikatan sesebuah keluarga dapat mencipta kenangan manis buat kanak-kanak.

Jelasnya, bercerita sememangnya memberi kesan yang baik terhadap perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak.

Chong Eng.

“Sebagai ibu bapa, cerita yang dikongsi tidak seharusnya positif, tetapi selitkan juga waktu sukar dalam kehidupan agar mereka (anak-anak) boleh jadikan ia sebagai pengajaran dan panduan hidup terutama sekali berkenaan pandemik yang sedang dihadapi kini.

“Apabila ibu bapa berkongsi cerita, ia akan mendorong anak-anak untuk berkongsi pula cerita mereka. Secara tidak langsung, tahap keyakinan dalam diri anak-anak dapat dipupuk kerana bebas memberi pendapat mereka sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang pada sidang media ‘Build Family Bonding through Story Telling’ yang diadakan di Tadika WhyteHouse @ Tech Dome Penang pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng dan Pengasas merangkap Pengarah Eksekutif Whytehouse Education Group, Jery Yeoh.

Sementara itu, Bee Leng ketika berucap menyifatkan bahawa penganjuran program ini tepat masanya memandangkan rata-rata semua ahli keluarga hanya berada di rumah ketika penularan pandemik ketika ini.

“Banyak manfaat yang dapat dicapai dengan menerapkan budaya bercerita ini antaranya ialah memberi motivasi kepada anak-anak dan mengeratkan perpaduan serta menguatkan lagi daya tahan mental mereka,” ujarnya.

Dalam isu berasingan, Chong Eng turut mengucapkan tahniah kepada pihak Segi College Penang dan PWDC serta WhyteHouse Education Group atas Kerjasama Awam Swasta selaku tuan rumah bagi penganjuran program International Story Telling Festival 2021 yang akan berlangsung dari 8 hingga 22 May 2021 secara langsung menerusi laman Facebook WhyteHouse.

Difahamkan bahawa peserta dari negara Taiwan, New Zealand, United Kingdom, India dan Singapura antara yang akan menyertai pertandingan ini nanti.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI