Purata tarif air domestik P.Pinang 116% bawah purata kebangsaan,semakan semula tarif air bagi biayai projek bekalan air negeri – Kon Yeow

Admin

 

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri hari ini menjelaskan bahawa permohonan semakan semula tarif air yang dibuat kepada Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah bagi membiayai projek kejuruteraan bekalan air yang sudah dirancang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi tempoh 2019 hingga 2021.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, purata tarif air domestik Pulau Pinang sebanyak RM0.32 bagi setiap 1,000 liter perlu disemak semula kerana ia adalah 116 peratus di bawah purata kebangsaan iaitu RM0.69 sen.

Jelasnya, purata air negeri pada kadar RM0.32 adalah yang paling rendah di Malaysia kerana PBAPP menanggung subsidi yang tinggi hingga membawa kepada subsidi tidak mampan.

“Subsidi berjumlah RM163.2 juta sepanjang tempoh dua tahun adalah tidak mampan kerana PBAPP memerlukan dana mencukupi untuk melaksanakan projek kejuruteraan bekalan air yang telah dirancang.

“Kesemua projek ini adalah bertujuan memastikan kelestarian dan jaminan bekalan air di Pulau Pinang, serta tiada catuan air menjelang 2050.

“Umum perlu ketahui, di Pulau Pinang, PBAPP tidak merancang untuk melaksanakan catuan air, justeru demi mengelakkan catuan air, tarif ini perlu disemak semula demi manfaat 1.76 juta pengguna serta semua perniagaan yang beroperasi di negeri ini,” ujar Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP pada sidang media di sini sejurus Majlis Sambutan Hari Natal dan Tahun Baru dekat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebentar tadi.

Turut serta, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Mydinsa.

Dalam pada itu, pada sidang media sama, Jaseni menyatakan bahawa cadangan semakan tarif air yang telah dibuat adalah bagi mengurangkan subsidi air domestik dan bukannya penghapusan (subsidi).

“Ia adalah bertujuan mengurangkan subsidi dan meningkatkan pendapatan daripada penggunaan perniagaan untuk membiayai projek kejuruteraan bekalan air yang dirancang.

“Di dalam cadangan tersebut, PBAPP akan terus memberikan subsidi kepada pengguna air domestik, walau bagaimanapun, jumlah subsidi tersebut akan berkurangan,” katanya.

Menurut Jaseni, lima projek utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2019-2021 ialah saluran paip berkembar dasar laut 1200mm Butterworth – Pulau Pinang yang merupakan saluran paip dasar laut ketiga); Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS); menaik taraf semula loji rawatan air, kolam air dan rumah pam sedia ada; pemasangan saluran paip baharu atau penggantian semula paip sedia ada serta pengurusan Air Tanpa Hasil (NRW).

“Sekiranya semakan tarif (air) ini diluluskan, semua hasil tambahan daripada tarif tersebut akan dilaburkan semula kepada projek-projek PBAPP,” ujarnya lanjut.