Pusat belia di semua 40 KADUN rancakkan pembangunan belia setempat

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang mewujudkan pusat belia di seluruh negeri ini bagi merancakkan lagi pembangunan komuniti belia setempat. 

 

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, cadangan mewujudkan pusat belia tersebut adalah bertepatan dengan konsep pembangunan sosial di bawah inisiatif Belia Untuk Masa Depan. 

 

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Belia dan Sukan bersama-sama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) bercadang untuk mewujudkan 40 pusat belia di Negeri Pulau Pinang yang mana satu (1) pusat belia akan diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN). 

 

“(Pusat-pusat belia ini) bakal menyediakan platform yang memberi pendedahan kepada para belia sama ada dalam bidang kesenian, kemahiran serta teknikal dan peluang kerjaya,” ujarnya pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 2 September 2021. 

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal itu, Pusat Belia Penaga yang terletak di Guar Kepah, Seberang Perai Utara merupakan pusat belia pertama yang telah dirasmikan pada 11 April 2021. 

 

Sementara Pusat Belia Bertam dan Pusat Belia Balik Pulau pula dibuka dengan rasminya pada Ogos 2021. 

 

“Pusat Belia yang sedang dalam proses penyediaan dan akan bermula operasi adalah di KADUN Penanti; Batu Kawan; Sungai Pinang; Bagan Jermal dan Seberang Jaya. 

 

Manakala, penubuhan Pusat Belia Seri Delima di Kampung Sungai Gelugor seperti yang dicadangkan oleh ADUN Seri Delima (Syerleena Abdul Rashid) dan Pusat Belia di Machang Bubuk adalah dalam proses perbincangan.

 

“(Dan) susulan perbincangan pada minggu lepas bersama-sama ADUN Seri Delima, satu lawatan tapak akan diadakan pada 3 September 2021,” jelasnya. 

 

Dalam sesi sama, Lip Chee turut mengumumkan penubuhan ‘Best! Anak Penang – Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang’ melalui kelulusan Mesyuarat Exco pada 30 Julai 2021 dan disahkan pada 04 Ogos 2021. 

 

Difahamkan skim insentif ini adalah untuk menunjukkan penghargaan kepada golongan belia berumur 15 sehingga 30 tahun yang berjaya mengharumkan nama Pulau Pinang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam pencapaian akademik serta aktiviti kokurikulum.

 

Permohonan skim insentif ini akan dibuka pada tahun hadapan.

 

“(Dan) pengumuman dengan informasi yang lebih lanjut akan dijalankan pada masa akan datang,” katanya. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD