Pusat Dialisis CAT di 5 daerah hasrat Kerajaan Negeri

PESAKIT, Ismail Ibrahim yang sedang mendapatkan rawatan di Pusat Dialisis CAT Negeri Pulau Pinang (Daerah Balik Pulau) yang selesa dan dilengkapi dengan kemudahan mesin rawatan tercanggih dunia.

Oleh : YAP LEE YING
Gambar: IDZHAM AHMAD & LAW SUUN TING

PULAU BETONG, BALIK PULAU – Demi kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri bakal mewujudkan empat lagi Pusat Dialisis CAT Negeri Pulau Pinang di setiap daerah selain yang beroperasi di Balik Pulau kini (bagi Daerah Barat Daya) pada penggal ini.

Ini termasuk di Farlim bagi Daerah Timur Laut, Bertam (Seberang Perai Utara, SPU), Seberang Jaya (Seberang Perai Tengah, SPT) dan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang masih belum dikenalpasti lokasinya.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada Majlis Sambutan Hari Pesakit & Ulang Tahun Pertama Pusat Dialisis CAT Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Katanya, dalam negara, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wujudkan pusat dialisis, namun, banyak juga yang tiada lesen.

“Malah, hanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang merupakan Kerajaan Negeri yang mempunyai pusat dialisis sendiri.

“Malah, sebelum habis penggal ini, kita (Kerajaan Negeri) berharap untuk wujudkan pusat-pusat dialisis sendiri (Pusat Dialisis CAT) di setiap daerah seluruh negeri Pulau Pinang.

Ini bagaimanapun bergantung kepada permohonan lesen yang memerlukan kelulusan pihak kementerian,’’ ujarnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir menyempurnakan majlis penuh bermakna tersebut yang turut dihadiri 24 pesakit yang mendapat rawatan dialisis di pusat berkenaan.

Turut diadakan adalah lawatan ke pusat yang menempatkan enam mesin dialisis dimanfaatkan para pesakit membabitkan kawasan luar bandar.

Menerusi inisiatif tersebut, setiap pesakit hanya perlu membayar RM30 hingga RM80 daripada jumlah kos sebenar berjumlah RM110.

Setahun lalu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang terus memperkasakan program kemasyarakatan dengan pembinaan Pusat Dialisis CAT Negeri Pulau Pinang (Daerah Barat Daya) bagi memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan rawatan bagi pesakit buah pinggang.

Projek seumpamanya yang menepati komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah hasil usahasama syarikat pembekal peralatan perubatan, B. Braun Medical Industry yang menaja mesin dialisis dengan keseluruhan kos berjumlah RM500,000.

Guan Eng dalam pada itu memberitahu, hasil kecekapan pengurusan kewangan negeri, Kerajaan Negeri berupaya merealisasikan pengwujudan
pusat dialisis tersebut dan turut memberikan subsidi bagi rawatan berkaitan kepada golongan memerlukan tanpa mengira fahaman politik mahupun perbezaan agama dan bangsa.

“Atas dasar kebajikan, pusat yang kini dibekalkan dengan mesin dialisis tercanggih di dunia adalah bukan bermatlamatkan keuntungan. Kerajaan Negeri telahpun membelanjakan RM2 juta dari segi kewangan dan infrastruktur untuk menubuhkan pusat ini.

“Hasrat kita (Kerajaan Negeri) adalah untuk melanjutkan Pusat Dialisis CAT di setiap lima daerah di negeri Pulau Pinang melalui perkongsian dengan pihak swasta.

“Saya percaya, penglibatan pihak swasta dalam program dan projek seumpama ini adalah menepati komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) organisasi masing-masing,’’ jelas beliau yang turut menasihati umum supaya kurangkan pengambilan makanan manis.

Nyatanya, Kerajaan Negeri boleh bina lebih banyak Pusat Dialisis CAT, namun, ia masih tidak akan cukup sekiranya rakyat tiada disiplin untuk belajar hidup dengan sihat.

“Yang penting adalah pencegahan. Jangan makan terlalu manis walaupun ‘manis’ itu sangat diminati ramai,’’ seru beliau.