KADUN Air Putih rai pelajar cemerlang UPSR

TAHNIAH… Seramai 154 pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 dipilih untuk menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan, ketika menyampaikan ucapannya menyatakan bahawa harapan tinggi diletakkan di atas bahu para pelajar berkaitan untuk terus mengecapi kejayaan di masa hadapan.

Selain sijil penghargaan, para pelajar yang diraikan turut menerima token di atas kecemerlangan masing-masing.

Anugerah Pelajar Cemerlang merupakan salah satu program kemasyarakatan tahunan yang diadakan bagi mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan para pelajar yang menduduki peperiksaan umum negara di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkaitan.