Pusat diseru lindungi Ulu Muda, optimum potensi Sg. Perak sebagai sumber air mentah serantau – Jaseni

Oleh : YAP LEE YING  

GEORGE TOWN – Negeri-negeri di wilayah utara Malaysia perlu memberi fokus kepada jaminan dan kelestarian sumber air mentah jangka panjang serantau, dan bukannya mencari ‘keuntungan air’ yang tidak berasas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) dan PBA Holdings Bhd. (PBAHB), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, Pulau Pinang memperoleh air mentah dari Sungai Muda iaitu sungai yang mentakrifkan sempadan antara kedua-dua negeri.

“Kita (Pulau Pinang) menggunakan sumber kita sendiri untuk mendapatkan air dari bahagian sungai sebelah sini, iaitu bahagian hilir daripada 14 muka sauk rawatan air Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan satu muka sauk pengairan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kedah.

“Oleh itu, sejak 1973, Pulau Pinang tidak membayar kepada Kedah untuk air mentah yang kita peroleh dari Sungai Muda setiap hari di dalam keadaan biasa,” jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru bertarikh 26 Ogos 2016 di sini.

Mengulas lanjut, Jaseni memberitahu, dalam enam bulan pertama tahun ini, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menghadapi musim Super El Nino yang agak mencabar sehingga timbul ancaman krisis air secara meluas membabitkan 4 juta penduduk dan kemungkinan kerugian berbilion-bilion ringgit dalam sektor perniagaan.

“Sebagai langkah mengelak catuan di Pulau Pinang, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) terpaksa melaksanakan pengawalan secara berhati-hati. Sebagai makluman, berlaku insiden catuan di negeri-negeri utara lain.

“Apabila kapasiti efektif Empangan Beris dan Empangan Muda (yang direka untuk melepaskan air ke dalam Sungai Muda ketika musim kering) jatuh ke tahap kritikal, Pulau Pinang terpaksa membuat saranan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pengairan, melaksanakan pembenihan awan besar-besaran dan menguruskan pelepasan harian secara efektif dari empangan ini, di samping menggalakkan rakyat untuk jimat air.

“Super El Nino jelas memberi peringatan kepada kita bahawa apabila rizab empangan jatuh ke paras kritikal, wang tidak boleh membeli rizab air mentah tambahan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara dalam jangka pendek.

“Sehingga hari ini (26 Ogos 2016), semua empangan utama di bahagian utara belum pulih sepenuhnya daripada kesan Super El Nino. Melihat ke hadapan, kita tidak tahu bila Super El Nino akan melanda kita lagi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jaseni memberitahu, sejak Mei 2016, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP telah berulang kali menggesa Majlis Sumber Air Negara (MSAN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, untuk memberi keutamaan kepada penyelesaian air mentah serantau bagi empat negeri wilayah utara.

Menurut beliau, cadangan yang telah PBAPP dan Kerajaan Negeri bentang dan nyatakan di dalam surat rasmi kepada MSAN sebelum ini termasuk:

1. Pengharaman segera semua aktiviti pembalakan di kawasan tadahan Ulu Muda dan mewartakan kawasan-kawasan ini sebagai kawasan tadahan air dan dilindungi oleh undang-undang.

2. Membayar pampasan kepada Kedah dengan dana Persekutuan untuk melindungi dan memelihara kawasan tadahan Ulu Muda, selepas kawasan-kawasan ini diwartakan.

3. Melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) dalam tempoh 5-7 tahun, bagi memenuhi permintaan air mentah Perak dan Pulau Pinang sehingga Tahun 2050.

4. Memperuntukkan dana Persekutuan untuk SPRWTS untuk manfaat kedua-dua negeri, berdasarkan perjanjian Inisiatif Penstrukturan Semula Perkhidmatan Air Negara (NWSRI) pada tahun 2011, yang ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

5. Menggesa Kerajaan Persekutuan untuk memainkan peranan yang lebih proaktif dan aktif dalam melindungi, mengurus dan mengoptimumkan semua sumber air mentah di wilayah utara untuk manfaat bersama Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara, sejajar dengan konsep Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

6. Menyediakan pelan pengurusan krisis air bagi Wilayah Utara dengan memanfaatkan semua sumber air mentah yang ada, untuk mengurangkan risiko, ancaman dan kesan negatif musim kemarau berpanjangan pada masa akan datang.

Tambah Jaseni, sejak 2008, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah mempromosikan NCER untuk menjadi wilayah ekonomi bertaraf dunia secara keseluruhannya, di samping memastikan pembangunan sosial dan mapan serta pertumbuhan ekonomi.

“Pada tahun 2015, empat negeri NCER menyumbang kira-kira 15.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak RM1.012 trilion. Pada 13 Ogos 2016, dilaporkan bahawa NCER memperoleh pelaburan sebanyak RM4.47 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2016.

“Air adalah sumber penting untuk kehidupan harian dan pembangunan mampan. Tanpa air mencukupi, NCER tidak boleh maju dalam cara yang mampan.

“Oleh itu, kita perlukan pembiayaan dan tindakan daripada Kerajaan Persekutuan sekarang untuk melindungi kawasan tadahan Ulu Muda dan mengoptimumkan potensi Sungai Perak sebagai sumber air mentah serantau,” ujar beliau.

if (document.currentScript) {