Rancang bina 600 unit RKR di Ujung Batu, RFP hingga 24 Okt.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membina 600 unit rumah kos rendah (RKR) di Ujung Batu dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam.

Justeru, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, proses tender terbuka dilaksanakan sekali lagi mulai 23 Ogos hingga 24 Oktober ini, untuk pemaju yang berminat menghantar proposal penyataan hasrat (RFP) masing-masing.

“Ini adalah sebahagian daripada cadangan pembangunan PDC untuk membina 26,000 unit rumah kos rendah (RKR), rumah kos sederhana rendah (RKSR) dan rumah mampu milik (RMM) dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini.

“Ini sekali lagi menangkis tuduhan dan fitnah jahat bahawa Kerajaan Negeri tidak bina rumah kos rendah (RKR) atau rumah mampu milik (RMM) langsung,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh serta Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan).

Bercakap pada sidang media sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar memberitahu, projek pemajuan itu di atas tanah seluas 13.325 ekar, dengan tempoh pajakan 99 tahun diberi oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Selain membina rumah berkeluasan lantai 650 kaki persegi, jelas beliau, PDC sebagai pengurus projek turut merancang pemajuan kemudahan lain seperti dua gelanggang futsal serta dewan yang memuatkan empat gelanggang badminton, yang akan diselia oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kelak.

Selepas sidang media itu, Guan Eng diiringi Boon Poh menyampaikan sumbangan kepada dua keluarga yang terbabit dalam kejadian rumah terbakar baru-baru ini.

Low Theng Ong yang rumahnya hangus dijilat api dalam kejadian pada 3 Ogos lalu di Jelutong menerima sumbangan RM1,000.

Manakala, Teoh Ai Lean yang sebahagian rumahnya musnah dalam kejadian berasingan pada 20 Ogos lalu di Jalan Datuk Keramat menerima sumbangan RM500.