Bajet 2017, MPSP anggar bayaran GST kepada Pusat RM2 juta

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bagi tahun 2017 memperuntukkan RM2 juta untuk anggaran pembayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Kerajaan Persekutuan.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2017 MPSP baru-baru ini.

“GST yang telah kita (MPSP) bayar sekarang (bagi tahun 2015) menjangkau RM1 juta. “Jadi, bagi (Bajet) 2017, kita (MPSP) sediakan (peruntukan perbelanjaan) RM2 juta,” ujarnya lanjut pada sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP di sini.

Sejak penguatkuasaan GST pada 1 April 2015, koskos yang sepatutnya dibayar oleh rakyat ketika berurusan dengan MPSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), diserap sepenuhnya oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Ketika itu, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, membantah keras pelaksanaan GST kerana ia menambah kos sara hidup rakyat terbanyak, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan kurang mampu.

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tempoh 1 April hingga 31 Disember 2015 direkodkan berjaya mengutip hasil bersih GST sebanyak RM27.01 bilion.