Pusat jualan hasil laut Jeti Nelayan Changkat bantu tingkat ekonomi nelayan

JAWI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan hampir RM800,000 bagi projek pembinaan pusat jualan hasil laut dan gerai makanan dekat Jeti Nelayan Changkat di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pembinaan pusat pengoperasian berkenaan dapat membantu meningkatkan pendapatan serta menaikkan taraf sosioekonomi nelayan.

“Skop kerja bagi projek ini pula adalah meliputi pembinaan pusat jualan ikan, gerai makanan, tandas, inap desa (kontena), stor dan landasan kapal.

Chow Kon Yeow menyempurnakan gimik perasmian majlis pecah tanah pusat hasil jualan dan gerai makanan Jeti Nelayan Changkat sempena jelajah ❤️Penang ke Parlimen Nibong Tebal, di sini.

“Justeru, dengan adanya pusat jualan ini, adalah diharapkan ia dapat menyelesaikan isu peraih atau orang tengah yang sukar dibendung sehingga kini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Pembinaan Pusat Jualan Hasil Laut dan Gerai dekat Jeti Nelayan Changkat di sini sebentar tadi.

Program berkenaan dianjurkan bersempena Jelajah ❤️PENANG Ketua Menteri ke kawasan Parlimen Nibong Tebal.

Turut hadir, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Ketua Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Mohd. Balkish Othman serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan projek berkenaan ketika ini masih pada peringkat pelantikan juruukur oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang.

Bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri di Jeti Nelayan Changkat.

“Dan saya berharap agar JKR Pulau Pinang sebagai agensi pelaksana dapat memastikan kemajuan projek ini berada pada landasan tepat sebagaimana yang dijadualkan,” katanya.

Sementara itu, Norlela memberitahu bahawa projek pembinaan pusat jualan tersebut dijangka siap pada tahun depan.

“Terima kasih kepada Unit Nelayan Changkat yang telah membuat permohonan terus
kepada saya untuk membangunkan jeti ini pada tahun 2020.

    • Menerima cenderahati hasil tangkapan nelayan.

“Sejujurnya, saya amat bangga kerana Unit Nelayan Changkat menjadi satu contoh sebagai sebuah unit yang mempunyai
matlamat jangka masa panjang untuk pembangunan ekonomi nelayan dan penduduk setempat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mooi Lye menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah banyak membantu meningkatkan infrastruktur asas di Jeti Nelayan Changkat.

“Sejak ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Harapan, banyak perubahan telah dilaksanakan di sini seperti menaik taraf dataran tempat letak kenderaan, tambahan lantai jeti, penyediaan bekalan air dan elektrik, tempat rehat serta pemasangan lampu jalan.

Meninjau keadaan jeti nelayan.

“(Dan) sehingga kini, lebih RM1 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membangunkan kemudahan di Jeti Nelayan Changkat ini,” ulasnya sambil menambah bahawa kehadiran pelancong ke jeti berkenaan juga dilihat meningkat dari tahun ke tahun.

Difahamkan, Jeti Nelayan Changkat sememangnya popular dalam kalangan pelancong luar dan tempatan khususnya untuk kegiatan memancing.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS