Pusat Kecemerlangan Pengakap negeri kini di Kem Bina Diri MSN, Pantai Robina

SOON Lip Chee dan Harry Chai Heng Hua (kanan) saling berbincang agenda pembangunan kemudahan di tapak perkhemahan PUSKEB negeri baharu di Pantai Robina di sini tadi.
SOON Lip Chee (tengah) menyaksikan Harry Chai Heng Hua (kiri) dan Zulkafli Kamaruddin (kanan) saling menukar dokumen perjanjian penyerahan kuasa pengurusan Kem Bina Diri MSN dekat Pantai Robina di sini pada pagi tadi.

TELUK AIR TAWAR – Kem Bina Diri MSN dekat Pantai Robina di sini kini dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan Pengangkap (PUSKEB) negeri yang baharu.

SOON Lip Chee

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata demikian selepas menyaksikan acara menandatangani perjanjian penyerahan kuasa pengurusan kem tersebut oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, Harry Chai Heng Hua kepada Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Zulkafli Kamaruddin.

“Saya berharap Persekutuan Pengakap Malaysia Pulau Pinang dapat terus maju lagi pada tahun hadapan (2021) dengan menguruskan kem ini untuk manfaat lebih 20,000 anggota pengakap di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Timbalan Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Malaysia Pulau Pinang di sini pada 26 Disember 2020.

ZULKAFLI Kamaruddin

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Zulkafli memberitahu bahawa Coronation Camp dekat Taman Botani merupakan PUSKEB, sebelum diambil alih kembali oleh agensi negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang pada tahun 2006.

“Sejak tahun 2006, kita memang tidak ada PUSKEB khusus untuk menjalankan aktiviti pertubuhan.

“Walaupun pengurusan Kem Bina Diri MSN di Pantai Robina ini telah diserahkan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Pulau Pinang, kita senantiasa mengalu-alukan pertubuhan lain untuk datang menjalankan aktiviti di sini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada Lip Chee dan Heng Hua.

Difahamkan, Kem Bina Diri MSN dekat Pantai Robina sebelum ini pernah dijadikan tapak kem bina jati diri dan semangat para atlet negeri.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB