MAINPP agih RM1.6 juta hasil wakaf kepada 75 penerima

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (depan, tengah) diiringi Rosidi Hussain (depan,kanan) menyerahkan agihan hasil wakaf kepada Meera Mydin Mastan (depan, kiri) dalam majlis yang berlangsung di Masjid Kapitan Keling di sini pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini menyerahkan agihan hasil wakaf berjumlah RM1.6 juta kepada 75 penerima.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Mengulas lanjut, Yang di-Pertuanya Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata bahawa pentadbirannya akan terus mencari jalan untuk mengkayakan manfaat daripada tanah dan hartanah wakaf demi memakmurkan kualiti umat Islam di Pulau Pinang.

“Masih banyak tanah wakaf belum dapat kita majukan disebabkan pelbagai kekangan dan halangan.

“Namun, InsyaAllah menerusi agensi Kerajaan Negeri iaitu Wakaf Pulau Pinang akan cuba membangunkan tanah dan hartanah wakaf, sekaligus akan membawa pulangan hasil kepada para penerima wakaf am dan wakaf khas,” jelasnya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Hasil Wakaf MAINPP di dewan solat utama Masjid Kapitan Keling di sini pada 25 Disember 2020.

Turut serta, Pengurus Besar Wakaf Pulau Pinang, Rosidi Hussain; Pengurus Baitul Mal MAINPP, Huzaimi Ghazali; dan Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Dato’ Meera Mydin Mastan.

Di samping itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti turut menyeru umat Islam untuk menjayakan program baharu Wakaf Pulau Pinang, iaitu ‘wakaf tunai’.

Difahamkan, daripada 75 penerima wakaf, 22 pihak adalah di bawah kategori penerima wakaf khas, sementara baki 53 pihak lain adalah penerima wakaf am.

Secara berperingkat, Ahmad Zakiyuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal akan membuat serahan hasil wakaf kepada 49 pihak masjid, 14 institusi pendidikan, sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tiga surau.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB