Pusat Khidmat, JPWK Tanjung Bungah anjur kelas buat pastri, kek cawan dan kek.

Admin

GEORGE TOWN – Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjung Bungah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) memperuntukkan RM7,700 bagi menganjurkan program Bake With Love.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata program tersebut menyediakan tiga kelas iaitu membuat pastri, kek cawan dan kek.

“Kelas pastri akan diadakan pada 25 dan 25 Ogos ini, kelas kek cawan pula pada 19 dan 20 Oktober dan kelas membuat kek adalah pada 7 dan 8 Disember.

“Bagi yang berminat anda cuma perlu membayar RM10 sahaja kerana ia telah disubsidikan dan setiap kelas maksimum 20 orang sahaja, jadi kepada yang berminat boleh cepat-cepat berdaftar,” ujar beliau yang juga ADUN Tanjung Bungah pada sidang media, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi JPWK Tanjung Bungah, Poon Lee Fah.

Mengulas lanjut, Zairil menjelaskan bahawa kelas-kelas tersebut akan diadakan di Giatmara Bukit Bendera, Tanjung Bungah yang mempunyai peralatan membuat kek dan pastri yang lengkap.

Kepada individu yang berusia 18 tahun ke atas, tanpa mengira jantina, boleh menghubungi talian 04-8903866 atau 016-2142248 untuk menyertai kelas yang dijadualkan bermula jam 2:00 petang hingga 6:00 petang bagi setiap sesi.

Dalam pada itu, Lee Fah berkata bahawa kelas tersebut merupakan satu peluang kemahiran yang ditawarkan bagi menambah pendapatan terutamanya kepada golongan ibu tunggal.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD