Pusat Khidmat KADUN Bertam sedia terima aduan penduduk

BERTAM – Pusat Khidmat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam yang baru mula beroperasi pada 16 Julai lalu sedia menerima aduan daripada penduduk setempat.

Pegawai Penyelaras Seranta bagi kawasan berkaitan, Muhammad Said berkata, sehingga kini 90 peratus aduan penduduk yang diterima  berjaya diselesaikan membabitkan masalah kos sara hidup, pemotongan bil elektrik, penebangan pokok, baik pulih rumah dan banyak lagi.

“Memandangkan baru sebulan memulakan perkhidmatan maka masih ramai penduduk yang tidak mengetahui kewujudan pusat khidmat ini.

Pusat Khidmat KADUN Bertam yang mula beroperasi sejak 16 Julai lalu sedia menerima pelbagai aduan penduduk.

“Jadi kita mahu uar-uarkan kepada penduduk bahawa sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah boleh datang sendiri ke Pusat Khidmat KADUN Bertam atau hubungi kita melalui panggilan telefon, WhatsApp atau Facebook,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini semalam.

Turut hadir, Pegawai Seranta Pusat Khidmat KADUN Bertam (Pegawai Khas Masyarakat Cina), Tan Hock Lai.

Tambah Muhammad, bagi memperkenalkan lagi Pusat Khidmat KADUN Bertam kepada penduduk setempat, pihaknya bercadang untuk mengadakan perkhidmatan kaunter bergerak di beberapa pasar raya di sekitar kawasan berkaitan.

“Selain itu, pada setiap hari Rabu kita juga adakan program Jejak Kasih yang mana kita akan melawat penduduk untuk menyantuni pesakit kronik dan terlantar.

“Melalui program ini, kita akan masuk ke kampung-kampung untuk menyampaikan sumbangan hamper kepada golongan yang memerlukan.

“Untuk masa terdekat, kita juga akan anjurkan program kemerdekaan bersempena Bulan Kebangsaan yang akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ‘Angkat’ bagi kawasan Bertam, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman,” ujarnya lagi.

Difahamkan, Pusat Khidmat KADUN Bertam mempunyai lima pegawai seranta yang mewakili semua kaum.

Sebarang aduan boleh hadir sendiri ke pusat khidmat berkenaan yang beralamat di No. 7, Dewan Sri Serdang, Kepala Batas atau hubungi talian : 018-942 0875.

Penduduk juga boleh mengikut program-program yang bakal dan telah dianjurkan oleh pusat khidmat terbabit dengan melayari laman Facebook Bertam Sejahtera.

Pada Mei lalu, Ahmad Zakiyuddin dilantik sebagai ADUN Angkat bagi kawasan Bertam selepas wakil rakyatnya daripada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak lagi menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF