Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru mula inisiatif urban farming, galak penyertaan masyarakat

Admin

BATU UBAN – Bagi menggalakkan penyertaan masyarakat terhadap pertanian dalam bandar atau lebih dikenali sebagai urban farming, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin memulakan inisiatif tersebut di pusat khidmatnya (Parlimen Bayan Baru) di sini.

Jelasnya, urban farming mempunyai pelbagai impak positif kepada masyarakat sekiranya ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Urban farming secara tidak langsung boleh menangani sedikit sebanyak kos barangan keperluan yang tinggi, di samping itu, ia lebih selamat dan terjamin kerana kita tanam sendiri tidak perlu risau tentang racun dan sebagainya.

“Malah menjadikan persekitaran lebih hijau dan berupaya mendidik anak-anak kita mengenai sains… dia melihat bagaimana pokok itu tumbuh melalui pengalamannya sendiri,” ujar beliau dalam satu sidang media dekat pusat khidmatnya di Jalan Sungai Dua baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kemajuan Sosial Malaysia (YKSM), Sumathi Selvam dan Pegarah Projek bagi urban farming YKSM, Elia Mastura Kamaruddin.

Bayam, timun, terung dan nanas pelbagai baka antara tanaman urban farming yang diusahakan di pusat khidmat berkenaan.

Selain itu, menurut Tze Tzin empat kawasan lain yang akan dijadikan sebagai projek perintis bagi urban farming termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Damar Laut, SK Bayan Baru, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Permatang Damar Laut dan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gedung.

“Dua sekolah yang telah berjaya melaksanakam projek ini melalui Jabatan Pertanian ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Kwang Hwa  dengan menanam sayur-sayuran, SK Sungai Nibong (sayur-sayuran) dan SJKC Phor Tau (agrotek),” jelas Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI