Pusat kuarantin risiko rendah di KMP dalam keadaan siap sedia

Admin

GEORGE TOWN – Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah bakal beroperasi di Kompleks Masyarakat Penyayang (KMP) dekat sini. 

 

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan bahawa pusat kuarantin tersebut kini dalam keadaan siap sedia atas permintaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

 

“Pusat kuarantin ini adalah untuk mereka yang bergejala dan berada di bawah pemantauan,” ujarnya. 

 

Tinjauan Buletin Mutiara sekitar pukul 2:00 petang tadi mendapati sukarelawan Buddhists Tzu-Chi Merits Society Malaysia (Tzu-Chi) bersama-sama kakitangan perubatan bertungkus-lumus menyusun atur segala kelengkapan yang diperlukan di Dewan CAT di sini. 

 

KERJA-KERJA susun atur di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Dewan CAT, Kompleks Masyarakat Penyayang.

 

 

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tzu-Chi, Khoo Boo Leong berkata, dalam usaha membantu barisan hadapan terutamanya pasukan perubatan dalam memutuskan perebakan pandemik COVID-19, pihaknya bersetuju bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyediakan pusat kuarantin dan rawatan tersebut. 

 

“Pihak kami berada di sini hari ini adalah bagi membantu (menyediakan tempat) dengan menunjukkan tanda sokongan dan peduli terhadap komuniti di negeri ini. 

 

“Selain 100 unit tilam dan bantal, pihak kami juga menyediakan enam unit kipas berkapasiti tinggi dan dua unit dispenser air untuk digunakan di pusat ini. 

 

“Namun setelah semua persiapan disediakan, pusat ini hanya mampu menampung sehingga 90 katil mudah alih pelbagai guna meskipun perancangan awal adalah 100 katil,” katanya ketika ditemui di sini, petang ini. 

 

Hadir sama, Penolong Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr. Goh Hin Kwang serta beberapa kakitangan perubatan hospital terbabit.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING