Pusat membeli-belah terbesar di wilayah utara Semenanjung Malaysia dibuka di Perai pada 2022, RM2.5 bilion GDV

Admin

PERAI – Tiga projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada pusat membeli-belah terbesar di wilayah utara Semenanjung Malaysia, ‘small office home office’ (SOHO) dan hotel akan dibina oleh pemaju, Kumpulan Belleview di atas tanah berkeluasan 20 ekar dekat Perai, dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM2.5 bilion, serta dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap projek pembangunan bercampur itu akan membawa sinergi baharu bukan sahaja dalam sektor pelancongan di Seberang Perai, bahkan (sektor) pelaburan negeri secara keseluruhannya.

“(Projek pembangunan bercampur ini) memang tarikan yang diperlukan, bukan sahaja buat pelancong, juga pelabur-pelabur, mereka yang datang membuat pelaburan di taman perindustrian ini.

“Lokasinya adalah sangat premium, ada ketersambungan yang sangat bagus, jadi, kita (Kerajaan Negeri) rasa ia akan menjadi suatu projek yang ada ‘synergetic’.

“Kawasan ini juga adalah kawasan yang telah wujud pelbagai pembangunan, mungkin boleh dikatakan (bahawa projek pembangunan bercampur ini) akan melengkapkan lagi pembangunan yang telah sedia wujud,” jelasnya kepada pemberita, selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi GEM di sini pada 6 Januari 2019.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai acara tersebut.

Hadir sama, Konsulat Besar Republik Rakyat China Ke Pulau Pinang, Lu Shiwei; Pengarah Urusan Kumpulan Belleview, Datuk Sonny Ho dan Pengarah Urusan Kumpulan LTC, Lionel Cheng.

Sebelum itu, Kon Yeow ketika berucap antara lain turut menzahirkan rasa gembira kerana Residensi GEM akan menjadi pembangunan berorientasi transit (TOD) yang pertama di negeri ini.

Beliau turut menzahirkan keyakinan dengan pelantikan firma milik pemerintah Republik Rakyat China iaitu China Communications Construction Company (CCCC) sebagai kontraktor utama bagi projek pembangunan bercampur yang terdiri oleh tiga fasa pelaksanaan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD