Pusat peruntuk RM1 juta bina bangunan baru Sekolah Agama As-Saadah di Penaga

Admin

PENAGA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pagi tadi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Bangunan Baru Sekolah Agama As-Saadah, yang akan mengambil tempoh pemajuan selama setahun dari sekarang.

Bercakap kepada pemberita, beliau merakamkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana memperuntukan RM1 juta untuk pelaksanaan projek persekutuan tersebut.

“Bangunan baru Sekolah Agama As-Saadah terdiri daripada lapan bilik darjah, kalau ikut kelas KAFA (Kelas Agama dan Fardu Ain) untuk satu kelas dapat memuatkan maksimum 25 orang.

“Di sini jua ada dewan yang agak besar, boleh memuatkan sehingga 400 orang dalam satu-satu masa, mungkin jua boleh dipertimbang untuk kegunaan komuniti tempatan seperti aktiviti kenduri dan kemasyarakatan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat dalam sidang media, selepas berucap serta menyempurnakan acara gimik majlis pecah tanah di sini pada 5 Julai 2019.

Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Farazi Johari serta wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) serta Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan lain turut sertai majlis tersebut.

Menjawab soalan pemberita, Ahmad Zakiyuddin berkata pihaknya telah meneliti kaedah, modul serta silibus “KAFA Menengah” yang telahpun dilaksanakan di Negeri Selangor, untuk diimplementasikan secara berperingkat di Pulau Pinang mulai tahun hadapan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD