Pusat saringan pandu lalu Stadium Negeri Pulau Pinang mudah dan pantas

Admin

BUKIT TAMBUN – Stadium Negeri Pulau Pinang yang terletak di Batu Kawan hari ini ditransformasikan menjadi pusat saringan pandu lalu (drive thru) bagi Program Penang Saring COVID-19 (PSC19).

Beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang, pusat saringan itu menerima kira-kira 1,200 rekod pendaftaran sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang mendaftar di bawah program PSC 19 sejak dilancarkan seramai 12,653 orang.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, ujian calitan akan dilakukan oleh petugas kesihatan dari luar kenderaan masing-masing.

“Ini adalah pusat saringan ke-14 dan merupakan pandu lalu pertama di bawah program PSC19.

“Proses saringan ini berjalan lancar, mudah dan pantas, syabas juga kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang bertugas dalam memastikan keadaan terkawal,” ujarnya sejurus mengadakan pemantauan di pusat berkenaan di sini lagi tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah, Goh Choon Aik (ADUN Bukit Tambun) dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali
Mahmud.

Di kesempatan tersebut, Jagdeep turut melakukan ujian saringan secara calitan ke atas dirinya.

Mengulas lanjut, beliau yang merupakan ADUN Datuk Keramat berkata bahawa pelaksanaan program PSC19 adalah selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa ujian saringan adalah penting dilaksanakan dalam usaha mematahkan penularan wabak COVID-19.

“(Kita) Kerajaan Negeri selari dengan pandangan mereka (WHO).

“Daripada 12,653 yang berdaftar, sejumlah 10,242 daripadanya telah selesai melakukan saringan dan 319 orang telah didapati positif untuk ujian calitan pertama.

“319 orang ini dikehendaki melakukan ujian calitan kedua, dan hanya 123 yang kekal positif,” maklum beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR