Pusat tiada hasrat beri diskaun 20%

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berasa kecewa dengan jawapan Parlimen Menteri Kerja Raya bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berhasrat untuk mengecualikan bayaran kepada pengguna motosikal dan juga tidak memberikan kadar diskaun sebanyak 20 peratus kepada pengguna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagaimana dinikmati penduduk negeri yang menggunakan kad Touch ‘N Go di Jambatan Pulau Pinang di sini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurutnya, Kerajaan Negeri turut kecewa dengan jawapan Menteri bahawa cadangan pengecualian tol kepada kenderaan kelas 0 (motosikal) di jambatan sama tidak dapat dilaksanakan. Alasan diberi adalah ia dikhuatiri akan menjadi ‘precedent case’ bagi jambatan bertol lain, seperti di Jambatan Pulau Pinang dan LINKEDUA.

“Macam mana BN (Barisan Nasional) boleh berjiwa rakyat kalau tak mahu bantu golongan bawah dengan mengecualikan bayaran tol kepada pengguna motosikal?

“Pada masa sama, keengganan memberikan diskaun 20 peratus ini telah mempunyai impak negatif dengan kegunaan hanya 13,000 kenderaan setiap hari di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ini.

“Macam mana sasaran harian 17,000 hingga 25,000 pengguna boleh tercapai tanpa memberikan kadar diskaun sebanyak 20 peratus kepada penduduk Pulau Pinang sebagaimana yang dinikmati pengguna Jambatan Pertama Pulau Pinang?’’ tegas beliau.

Guan Eng memberitahu, tol motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah adalah lebih tinggi sebanyak RM1.70 berbanding dengan RM1.40 di Jambatan pertama.

“Pengguna Jambatan Pulau Pinang yang menggunakan Touch ‘N Go dapat menikmati 20 peratus diskaun iaitu RM1.12 untuk motosikal dan RM 5.60 untuk kereta (tanpa Touch ‘N Go RM7.00).

“Kadar tol yang jauh berbeza di antara kedua-dua jambatan ini tidak akan membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan sesak (choke point) di Jambatan Pertama Pulau Pinang,’’ ujarnya.

Berikut merupakan soalan Dewan Rakyat dan Jawapan daripada Menteri Kerja Raya kepada Guan Eng pada 17 Jun 2014:-

YB. Tuan Lim Guan Eng (Bagan) minta Menteri Kerja Raya menyatakan kadar tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, mengapa Kerajaan Pusat enggan megurangkannya kepada tahap kadar Jambatan Pertama, khususnya motosikal, dan juga enggan memberikan diskaun tol 20% bagi penghuni Pulau Pinang yang menggunakannya. Berapa banyak bayaran balik hutang setiap tahun.

Jawapan:

“Tuan Yang Di-Pertua, Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kadar tol bagi semua jenis kenderaan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang telah ditetapkan berdasarkan kepada perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara kerajaan dan syarikat
konsesi, iaitu Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB).

Penetapan kadar ini dibuat berdasarkan kepada faktor-faktor seperti kos pembinaan, kos operasi, unjuran trafik, tempoh konsesi dan tempoh pembayaran balik pinjaman oleh syarikat konsesi JKSB.

Sehubungan itu kadar tol yang dikenakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ini adalah berpatutan dengan mengambil kira kos keseluruhan projek ini, iaitu 24km berbanding jarak 13.5km sahaja di Jambatan Pulau Pinang. Kadar tol yang dikenakan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mengikut kelas kenderaan bagi tempoh 5 tahun pertama (1 April 2014 – 31 Mac 2019) ialah seperti berikut:

• Kelas 0 (motosikal ) – RM1.70;
• Kelas 1 (kenderaan 2 gandar 3 atau 4 tayar, kecuali bas dan teksi) – RM 8.50;
• Kelas 2 (kenderaan 2 gandar 6 tayar, kecuali bas) – RM30.50 ;
• Kelas 3 (kenderaan 3 gandar atau lebih, kecuali bas) – RM70.10
• Kelas 4 (teksi) – RM 8.50; dan
• Kelas 5 (bas) – RM26.20.

Mengenai cadangan pemberian diskaun tol, Kerajaan setakat ini tidak berhasrat untuk memberikan kadar diskaun sebanyak 20% kepada pengguna di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagaimana yang dinikmati oleh penduduk Pulau Pinang yang menggunakan Touch ‘N Go di Jambatan Pulau Pinang .

Manakala cadangan pengecualian tol kepada kenderaan Kelas 0 (motosikal) juga tidak dapat dilaksanakan kerana ia dikhuatiri akan menjadi “precedent case” bagi jambatan bertol yang lain, seperti di Jambatan Pulau Pinang dan LINKEDUA.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jumlah dan tempoh pembayaran semula pinjaman bagi melaksanakan projek Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Sekian, terima kasih.”