Pusingan ‘U’ Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Sungai Pinang dan Lebuh Sungai Pinang dibuka sejak 1 Ogos

Admin

GEORGE TOWN – Pengguna jalan raya yang melalui Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jalan Sungai Pinang dan Lebuh Sungai Pinang kini boleh menarik nafas lega apabila laluan pusingan ‘U’ dibuka kepada umum sejak 1 Ogos lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata, kerja-kerja menaik taraf persimpangan di ketiga-tiga jalan berkenaan membolehkan pengguna dari arah Jambatan Pulau Pinang dan Georgetown membuat pusingan ‘U’ dengan lebih lancar.

“Panjang laluan pusingan ‘U’ ini adalah kira-kira 400 meter (m) dengan kelebaran 4m manakala had laju ialah 35 kilometer sejam (km/j).

“Oleh itu, laluan ini hanya untuk kegunaan kenderaan ringan sahaja dan selusur juga telah dipasang pada kedua-dua laluan pejalan kaki di bawah jejambat demi keselamatan orang awam,” ujarnya semasa mengadakan sidang media dekat Medan Selera Sungai Pinang di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng dan Nicholas Theng serta Jurutera Kanan Lalulintas & Pengangkutan Awam, Zainuddin Mohamad Shariff.

Justeru, Siew Khim berharap agar aliran lalu lintas di persimpangan jalan-jalan terbabit dapat ditambah baik dari semasa ke semasa demi keselesaan pengguna jalan raya.

“Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana menaik taraf persimpangan ini dengan pembinaan laluan khas untuk kemudahan para pengguna jalan raya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Zi Sen turut merakamkan penghargaan kepada MBPP kerana berjaya menyiapkan projek tersebut lebih awal berbanding tempoh yang ditetapkan.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: LAW SUUN TING