GEORGE TOWN – Pembukaan Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) bakal memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi penganjuran acara mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) yang unggul di peringkat kebangsaan mahupun serantau.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kehadiran PWCC bukan sekadar menambah fasiliti berkaitan sedia ada, malah merupakan langkah strategik untuk menampung permintaan yang kian meningkat daripada penganjur acara antarabangsa.

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) melihat penambahan satu pusat MICE ini tidak bertujuan untuk merebut peluang sedia ada, sebaliknya ia membolehkan Pulau Pinang menunaikan potensinya sebagai pusat pelancongan dan pusat MICE utama negara terutama di wilayah utara (Semenanjung Malaysia)
“Bidang ini (MICE) menikmati pertumbuhan yang amat memberangsangkan hasil peranan dimainkan oleh Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB), Penang Global Tourism (PGT) dan Penang Convention & Exhibition Bureau ( PETACE) beberapa tahun sebelum ini.
“Justeru, kita perlu memastikan kemudahan mencukupi untuk menampung pertambahan pelancong serta penganjur yang memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan,” jelasnya kepada pemberita selepas menyertai sesi lawatan rasmi ke PWCC di sini pada 5 Januari 2025.

Bercakap dalam sidang media sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai memberitahu bahawa MICE adalah sektor yang penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pada tahun lalu (2025), anggaran impak ekonomi (EEI) bagi aktiviti MICE mencecah lebih RM1 bilion merangkumi sektor pengangkutan, peruncitan, perhotelan dan rantaian bekalan.
“Dengan adanya PWCC, kita menjangkakan angka impak ekonomi ini akan melonjak lebih tinggi bagi tahun 2026,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Sementara itu, Pengarah IJM Perennial Development, Datuk Tony Ling Thou Lung memberitahu bahawa The Light City merupakan projek pembangunan bersepadu yang mana PWCC dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.
“Ia (PWCC) merangkumi pusat beli-belah, ruang pejabat, serta hotel bertaraf antarabangsa.
“Pusat beli-belah di sini berfungsi sebagai pemangkin (catalyst) bagi seluruh pembangunan ini yang menyediakan kemudahan buat komuniti sekitar.
“Ia (pembukaan pusat membeli belah di PWCC) bukan isu lambakan kerana setiap lokasi mempunyai fungsi tersendiri, malah menjelang pembukaannya pada April nanti, kita jangka akan ada beberapa ‘kejutan’ melibatkan penyewa utama (anchor tenants) baharu yang berkualiti dari dalam dan luar negara,” jelasnya lagi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran antara pemimpin negeri yang menyertai majlis perasmian pembukaan PWCC sebentar tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD