GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui agensinya, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) akan terus memberi tumpuan pada bidang keusahawanan, kepimpinan komuniti dan pembangunan sosioekonomi demi memperkasa golongan wanita.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata menerusi Penang Women Entrepreneurs Mentoring Programme (PenMentor), wanita berpeluang menyertai sesi latihan keusahawanan, bimbingan mentor, kelas pemasaran digital dan peluang rangkaian perniagaan.
“Sebagai contoh impak program, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Bukit Tengah berjaya mendapat dana SeJaTi MADANI sebanyak RM100,000 untuk menubuhkan pusat komuniti The Garden.
“Pusat ini kini berfungsi sebagai platform untuk wanita setempat menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga,” jelasnya dalam sesi soal jawab lisan sempena berlangsungnya Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada 18 November 2025.
Di samping itu, beliau berkata PWDC dengan kerjasama Persatuan Komuniti Literasi Pulau Pinang (PENITI) menganjurkan Program Kepimpinan Wanita Elit dalam Politik (WELIT).
“Program WELIT telah menerima dana Program Perantis Kepimpinan Wanita (PERANTIS) sebanyak RM50,000 di bawah Jabatan Pembangunan Wanita, Kemenyerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Program ini merupakan platform latihan intensif dalam dasar awam, komunikasi strategik, dan tadbir urus baik,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa perbelanjaan keseluruhan PWDC untuk pelaksanaan progra pembangunan wanita bagi tahun 2025 berjumlah RM654,840, yang mana RM413,440 peruntukan dari negeri dan selebihnya disumbangkan oleh agensi negeri serta Kerajaan Persekutuan.
Dalam sesi celahan soalan tambahan selepas itu, ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze berkata pihaknya berharap program-program pemerkasaan wanita negeri yang dianjurkan PWDC tidak terlalu berorientasi program ikonik bagi mengisi kalender tahunan sama-mata.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD