PWDC zahir sokongan laksana GRB, sedia menyumbang pengalaman

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menzahirkan sokongan terhadap pengumuman kerajaan untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita dalam menyediakan Belanjawan Responsif Gender (GRB) mulai tahun depan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng berkata, inisiatif tersebut membolehkan kerajaan mengenal pasti kumpulan sasar bagi mengagihkan sumber mengikut keperluan penerima yang signifikan.

 

PWDC menyokong penuh inisiatif berkaitan serta bersedia untuk menyumbang apa-apa juga keperluan bagi memastikan kelancaran proses pelaksanaannya kelak.

 

“Lagipun, Pulau Pinang telah melaksanakan Bajet Responsif dan Penyertaan Gender atau GRPB dan mempunyai pengalaman meluas dalam memastikan keperluan yang berbeza antara lelaki dan wanita tidak kira tua atau muda semuanya dirangkumkan,” ujarnya ketika ditemui sejurus program kibarkan Jalur Gemilang di Komtar pada 26 Ogos 2022.

 

CHONG Eng (kiri, kemeja putih) mengedarkan Jalur Gemilang dan beg cenderahati kepada orang awam di perkarangan Komtar. Turut sama, Teh Lai Heng.

 

Mengulas lanjut, Bee Leng menjelaskan bahawa setiap kelompok masyarakat mempunyai keperluan yang berbeza tetapi masih saling melengkapi antara satu sama lain.

 

“Dan perkara inilah yang ‘diangkat’ oleh PWDC dalam mengarusperdanakan gender berpandukan keperluan dan keadilan sosial,” katanya.

 

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata adalah penting buat semua rakyat Malaysia merasai ada sinar harapan untuk mengecapi segala matlamat dan impian hidup mereka.

 

Transformasi yang dilakukan perlu menjangkau aspek kerancakan ekonomi dan pembangunan fizikal yang mana aspek pembangunan sosial juga wajar diberikan tumpuan.

 

“Mungkin bukan dari segi pulangan kewangan kepada rakyat tetapi dari segi dasar dan polisi yang memberi keadilan gender serta sosial.

 

“Misalnya dari perspektif wanita, adakala kerja keras yang dilakukan tidak mendapat pulangan atau ganjaran yang setimpal seperti suri rumah sepenuh masa.

 

“Walhal jasa dan sumbangan seorang wanita yang bergelar ibu dan suri rumah sepenuh masa amat besar dan di sinilah perlunya ada dasar dan polisi yang menjaga kebajikan dan keperluan mereka, perlu ada jaringan keselamatan sosial.

 

CHONG Eng (kiri) dan Ong Bee Leng ketika ditemui sejurus program edarkan Jalur Gemilang di sini.

 

“(Dan) dasar dan polisi ini bukan sahaja terhadap wanita yang bergelar suri rumah sepenuh masa tetapi juga mereka yang bekerja, warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU)…semua baik wanita mahupun lelaki. 

 

“Itulah yang dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan Negeri kepada PWDC untuk merintis ke arah pembangunan sosial rakyat di negeri ini,” jelasnya.

 

Terdahulu, Chong Eng dan Bee Leng meluangkan masa mengagihkan 1,000 Jalur Gemilang dan 100 beg cenderahati kepada orang ramai di hadapan Komtar sempena Hari Kebangsaan yang bakal disambut tidak lama lagi. Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

 

PENGUNJUNG cilik tidak melepaskan peluang mengibarkan Jalur Gemilang.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN