PWEMP, WJR platform wanita ceburi bidang keusahawanan

Admin

GEORGE TOWN – Program Mentor Usahawan Wanita Pulau Pinang (PWEMP) dan Program Wanita Jana Rezeki (WJR) merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dalam memperkasakan kaum wanita di negeri ini.

CHONG Eng.

Exco ‘Caretaker’ Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, secara peribadi beliau amat menggalakkan golongan Wanita merebut peluang dalam bidang keusahawanan.

“Misalnya, PWEMP menawarkan peluang bimbingan dan rangkaian kepada usahawan baharu manakala WJR pula mengajar usahawan dengan kemahiran khusus dalam jahitan, memasak dan penjagaan selepas bersalin serta lain-lain pengetahuan lagi.

“Cabaran kini amat hebat dek dunia perniagaan kian dipelopori rata-rata oleh kaum lelaki, oleh itu saya ingin menyeru kepada semua wanita untuk sama-sama teruskan bersaing dengan penuh keyakinan sekali gus membuktikan wanita boleh,” katanya pada sidang media Pelancaran Program Wanita Dalam Ekonomi dekat Komtar pada 17 Julai 2023.

ANTARA yang turut hadir sesi sidang media yang diadakan awal pagi tadi.

Hadir sama, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng; Ahli Lembaga Pengarah PWDC, Datuk Rohana Abdul Ghani serta Datuk Dr. Florence Sinniah.

LIM Siew Khim.

Siew Khim ketika ditemui turut menyeru agar lebih ramai wanita terlibat dalam sektor keusahawanan dan ekonomi di negeri ini.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengetengahkan pembangunan wanita sebagai keutamaan termasuk menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang ekonomi.

“Oleh itu, saya ingin menyeru lebih ramai wanita mengambil bahagian dalam edisi keempat kedua-dua program berkaitan (PWEMP dan WJR) untuk memperoleh kemahiran dan pengetahuan baharu,” ujarnya.

Difahamkan, edisi keempat PWEMP dan WJR akan berlangsung selama empat bulan bermula Ogos sehingga November tahun ini.

Pada sidang media sama, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual beberapa pengusaha yang menggelarkan diri mereka ‘Mommy Gojes’, terdiri daripada empat wanita bergelar ibu bergabung tenaga selepas mengikuti Program Wanita Dalam Ekonomi Pulau Pinang 3.0 tahun lalu.

DARI kanan, Noorharyantie Ismail, Siti Fairuz Noor Hazlan, Noor Leilawati Abu Hasan dan Jamilah Ismail yang merupakan pengusaha Mommy Gojes.

Noorharyantie Ismail, Siti Fairuz Noor Hazlan, Noor Leilawati Abu Hasan dan Jamilah Ismail, memutuskan untuk bekerjasama dan menubuhkan ‘Mommy Gojes.’

“‘Mommy Gojes’ turut menjual pelbagai produk, termasuk kek bajet berharga serendah RM15, biskut, kuih raya dan juga kerepek.

“Selain menjual produk kami sendiri, kami juga turut bekerjasama dengan vendor lain untuk menjual produk tambahan, di samping dapat menjana pendapatan untuk mereka juga.

“Kini, kami baru sahaja menghasilkan produk sulung kami di bawah jenama ‘Mommy Gojes’ iaitu ‘Sambal Strawberi’, dan alhamdulilah kami telah menerima sambutan yang agak baik sejak melancarkannya dua bulan lalu,” jelas Noorharyantie yang turut berbangga dengan hasil usaha mereka secara berpasukan.

Usaha ‘Mommy Gojes’menimba ilmu pengetahuan yang diperoleh dari kursus pementoran oleh Kerajaan Negeri ini, telah membuahkan hasil apabila hasil jualan yang diraih antara RM11,000 hingga RM16,000 sebulan.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN