PYDC, Big Domain sasar lahirkan belia era digital

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) bersama-sama syarikat pembangun laman sesawang, Big Domain Sdn. Bhd. (Big Domain) memeterai perjanjian persefahaman sebagai satu inisiatif baharu melahirkan belia era digital melalui program Platform Bakat Digital Pulau Pinang.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa objektif utama program berkenaan adalah untuk melahirkan golongan belia yang mempunyai bakat bidang pendigitalan dalam tempoh dua tahun.

 

“Semestinya salah satu objektif utama lain adalah untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab bakal digital sejajar dengan visi Penang2030 bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

 

“Selain itu, melalui program ini, dijangkakan 1,000 peluang pekerjaan baharu untuk belia Pulau Pinang diwujudkan dengan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam proses transformasi digital.

 

“Malah, program ini juga membantu membangunkan ekonomi jangka pendek atau ‘economy gig’ di Pulau Pinang khasnya.

 

“Maka, diharap melalui MoU ini, bakat-bakat digital baharu dapat dicungkil menerusi pelbagai program latihan dan pembangunan bersama yang telah dipersetujui,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara PYDC dan Big Domain di Komtar hari ini.

 

Menyempurnakan majlis berkaitan ialah Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling dan Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas Bersama Big Domain, Herry Tye di hadapan Ketua Menteri.

 

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Marketing Network, Bob Lay dan Pengasas Bersama Moden Academy, Chuah Thian Hiang.

 

Menurut Kon Yeow, melalui MoU yang dimeterai, PYDC bersama-sama Big Domain bersetuju untuk bertukar-tukar pengetahuan serta pengalaman dalam bidang pendigitalan termasuk mengadakan program latihan dan pembangunan digital bersama.

 

“Malah, kedua-duanya akan memberikan pandangan industri serta peluang kerjaya yang disasarkan kepada golongan belia dan apa jua kolaborasi lain yang memberi manfaat dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari semasa ke semasa.

 

“Saya percaya melalui program ini, ia akan menjadi medium perantaraan bagi memadankan bakat digital dengan perkhidmatan digital yang diperlukan pada masa kini.

 

“Serentak itu, Big Domain juga telah bersetuju untuk menaja sepenuhnya program ini melalui laman sesawang PYDC dan PYDC akan melaksanakan program latihan dan pembangunan bakat,” jelasnya yang percaya bahawa program berkaitan adalah sangat penting iaitu seiring dengan perkembangan trend semasa dunia yang menuju ke arah perdagangan secara dalam talian dan pendigitalan.

 

Difahamkan Big Domain selaku pengelola program akan menjemput rakan seperti Moden Academy, EVO Marketing, Digital Marketing Network dan KK eCommerce untuk sama-sama terlibat dalam program-program latihan dan pembangunan digital.

 

Antaranya program Key Opinion Leader (KOL) and Influencer; Revolusi Industri 4.0; e-perdagangan; jurureka; kenyataan media; penulisan iklan dan penyuntingan video.

 

Bagi belia yang berminat, syarat-syarat yang ditetapkan untuk menyertai program Platform Bakat Digital Pulau Pinang adalah had umur antara 18 hingga 30 tahun; warganegara Malaysia dan dilahirkan di Pulau Pinang atau bermastautin sekurang-kurangnya tiga tahun pada tarikh pendaftaran program.

 

Dalam majlis sama, turut dimaklumkan adalah penganjuran program latihan LiveNow KOL Training oleh Alibaba Group dan Moden Academy pada 12 dan 13 September 2020 yang mana para peserta akan dilatih sebagai jurucakap dalam talian supaya meningkatkan daya saing jualan dalam pasaran digital.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG