Rai Ketua Menteri Melaka di Masjid Melayu Lebuh Acheh

Admin
(Dari kiri) YEOH Soon Hin, Ketua Menteri Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa, Sulaiman Md. Ali dan Muhammad Jailani Khamis turut melawat makam Tengku Syed Hussain Al-Aidid di perkarangan Masjid Melayu Lebuh Acheh di sini pada 13 Jun 2022.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Melayu Lebuh Acheh meraikan rombongan rasmi Kerajaan Negeri Melaka yang diketuai Ketua Menterinya, Datuk Seri Utama Sulaiman Md. Ali dalam majlis di sini sebentar tadi.

Turut serta, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melala, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan beberapa pemimpin bagi kedua-dua Kerajaan Negeri berkenaan.

Semasa berucap, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Melayu Lebuh Acheh, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak menyifatkan bahawa lawatan rasmi serta majlis makan malam bersama-sama ahli kariah di sini sekali gus menyemarakkan lagi semangat muhibah atas nama persaudaraan Islam dan sesama manusia.

Selepas itu, Sulaiman turut menyampaikan bantuan berupa sumbangan khas Kerajaan Negeri Melaka untuk kerja-kerja pengindahan bangunan masjid tersebut serta saguhati kepada sekalian jawatankuasa kariah masjid serta orang awam yang hadir.

Pada majlis sama, Kon Yeow dan Mujahid turut mengiringi rombongan rasmi Kerajaan Negeri Melaka melawat makam Tengku Syed Hussain Al-Aidid yang berasal dari Acheh, Sumatera, Indonesia, iaitu pengasas Masjid Melayu Lebuh Acheh pada tahun 1808 Masihi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD