Rakyat majmuk sambut Aidilfitri serlahkan semangat Malaysia – Kon Yeow

Admin

JAWI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menganggap rakyat berbilang kaum yang turut bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri menyerlahkan lagi semangat Malaysia yang sebenar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi, anjuran bersama Pusat Khidmat ADUN Jawi dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal.

“Bukan sahaja orang Islam setelah sebulan berpuasa (pada bulan Ramadan) meraikan Hari Raya Aidilfitri, bahkan rakyat yang berbilang kaum juga turut meraikan bersama-sama (umat Islam).

“Ini lah negara Malaysia yang kita sama-sama sanjungi,” ujarnya dalam majlis yang berlangsung di Gelanggang Sepak Takraw, Kampung Bagan Buaya, Changkat di sini pada 11 Jun 2019.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 senantiasa memberi tumpuan terhadap usaha melaksanakan pelbagai program kebajikan langsung kepada rakyat.

Justeru, beliau mengulangi komitmen bahawa pentadbirannya hari ini melalui Penang2030, iaitu wawasan pembangunan masa depan negeri dalam tempoh 11 tahun sehingga 2030 akan terus berusaha meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat serta pendapatan sektor isi rumah mereka.

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman merangkap Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Exco Belia & Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Timbalan Speaker DUN merangkap ADUN Sungai Bakap, Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD