Rakyat negeri dialu-alu ke Jepun – Ryuji

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN – Sempena Hari Ulang Tahun Raja Jepun, Maharaja Akihito ke-79 baru-baru ini, satu acara makan malam dianjurkan pihak Kedutaan Jepun Pulau Pinang bertempat di sebuah hotel terkemuka di Lebuh Farquhar di sini.

Konsul Jeneral Jepun ke Pulau Pinang, Ryuji Noda yang mengetuai acara tersebut merakamkan ucapan kehormat kepada Yang DiPertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’azam Shah.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melafazkan ucapan kehormat kepada Maharaja Akihito.

Nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara turut berkumandang.

Pada majlis tersebut, Ryuji yang baru menyandang tugas sebagai Konsul Jeneral di sini September tahun lalu memuji negeri ini dalam beberapa aspek.

“Saya sedikit sebanyak sempat mempelajari budaya dan kehidupan di Pulau Pinang sejak ditugaskan ke sini.

“Masyarakat di sini begitu ramah dan mesra. Malah, saya juga kagum dengan budaya, makanan, seni, industri dan pelancongan negeri
ini.

“Tiada sebab mengapa Pulau Pinang tidak boleh mencapai taraf negeri antarabangsa,” ucapnya pada Majlis Makan Malam Sempena Hari Ulang Tahun Raja Jepun Ke-79 di sini baru-baru ini.

Pada acara tersebut, tetamu dihidangkan masakan ala Jepun, tempatan dan citarasa masakan Asia lain yang amat menyelerakan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr. P. Ramasamy, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik dan ADUN Tanjong Bunga, Teh Yee Cheu.

Pada masa sama, Ryuji turut mengalualukan kedatangan rakyat Pulau Pinang ke Jepun dalam mempereratkan lagi hubungan dua hala di samping mengenali budaya antara satu sama lain.

RYUJI Noda (kanan sekali) menyambut kedatangan para tetamu yang hadir pada Majlis Makan Malam Sempena Hari Ulang Tahun Raja Jepun Ke-79 di sini baru-baru ini.
RYUJI Noda (kanan sekali) menyambut
kedatangan para tetamu yang hadir pada
Majlis Makan Malam Sempena Hari Ulang
Tahun Raja Jepun Ke-79 di sini baru-baru ini.