Rakyat Pulau Pinang diseru segera daftar sebagai penerima vaksin COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa seramai 113,672 individu telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di negeri ini sehingga 4 Mac 2021.

Beliau berkata, jumlah itu masih lagi rendah kerana hanya merangkumi kurang 10 peratus daripada 1.3 juta bilangan penduduk Pulau Pinang yang dijangka layak menerima suntikan vaksin.

“Bilangan individu yang telah menerima suntikan vaksin di negeri ini pula adalah seramai 5,172 orang sehingga 7 Mac lalu.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat Pulau Pinang untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin tanpa perlu menunggu bermulanya Fasa 2 dan Fasa 3,” katanya kepada pemberita pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Tambah Kon Yeow, sambutan rakyat terhadap Program Imunisasi (COVID-19 Kebangsaan) di seluruh negara juga masih perlahan memandangkan hanya 3 juta orang sahaja yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin sehingga kini.

Menurut beliau, jumlah itu adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan sasaran 70 peratus rakyat Malaysia yang akan divaksin menjelang tahun hadapan.

Walau bagaimanapun, Kon Yeow optimis bahawa jumlah pendaftaran penerima vaksin COVID-19 akan meningkat selepas program vaksinasi memasuki Fasa 2 dan Fasa 3 kelak.

“Jadi saya percaya apabila masuk ke peringkat Fasa 2 dan Fasa 3, pendaftaran akan meningkat kerana semakin dekat dengan tarikh untuk kumpulan sasar di bawah fasa ini menerima suntikan vaksin.

“(Dan) dijangka pada bulan Mei dan Jun secara serentak dengan Fasa 2 dan Fasa 3, program ini akan sampai kepada kumpulan sasaran.

“Tambahan pula, kerajaan telah menyediakan beberapa alternatif sebagai medium pendaftaran vaksin COVID-17 selain aplikasi MySejahtera iaitu melalui laman web dan telefon pintar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyarankan kepada pihak berkuasa agar memberikan tarikh suntikan vaksin COVID-19 lebih awal kepada mereka yang telah mendaftar sebagai penerima vaksin untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap program berkenaan.

“Langkah ini dapat menggalakkan rakyat untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 lebih awal.

“Ini kerana, jika kita tidak mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus daripada populasi penduduk negara ini untuk divaksin, maka kita tidak akan mencapai imuniti kelompok bagi melindungi mereka yang tidak divaksin.

“Selain itu, saya juga berharap agar program vaksinasi ini dapat dilaksanakan dengan adil tanpa adanya tindakan memotong barisan dan sebagainya supaya paras keyakinan rakyat terhadap program ini dapat ditingkatkan,” tegasnya.

Berkongsi pengalaman sebagai antara penerima awal vaksin COVID-19 di negeri ini, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau tidak mengalami sebarang gejala melainkan sedikit rasa sakit di bahagian suntikan.

“Saya tidak merasa apa-apa kesan sampingan selepas menerima suntikan selain rasa sakit sedikit di bahagian yang disuntik dan itupun dalam tempoh sehari lebih sahaja.

“Selepas itu, memang tidak ada apa-apa kesan yang menyebabkan saya lain daripada kebiasaannya, dan saya percaya ini adalah proses yang lazim dirasai oleh semua penerima suntikan (vaksin COVID-19) yang lain,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN