Rakyat terus diperkasa rakyat melalui Penang2030 dan gagasan Malaysia Madani – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan agenda-agenda pemerkasaan dan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini selari dengan aspirasi Visi Penang2030 dan juga gagasan Malaysia Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kesepuluh kini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pelbagai program kebajikan i-Sejahtera telah dilaksanakan sejak tahun 2008 dan ia akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM53 juta pada tahun ini.

 

“Manakala di bawah gagasan Malaysia Madani, Kerajaan Negeri akan bersama-sama Kerajaan Persekutuan menjayakan inisiatif Madani antaranya program-program Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Jualan Rahmah, Pakej Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah dan lain-lain yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri serta negara ini.

 

 

“Pendekatan berkaitan adalah bagi memastikan kerangka Malaysia Madani menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan.

 

 

“Justeru, suka untuk saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan yang menjadi rakan karib kepada Kerajaan Negeri untuk bersama-sama dengan pemegang taruh serta agensi berkaitan bagi membolehkan dasar-dasar digubal mengikut kesesuaian serta keutamaan semasa.

 

“Adalah diharapkan jalinan kerjasama erat ini mampu mewujudkan sebuah pasukan yang kuat demi kemajuan serta kemakmuran negeri ini,” ujarnya pada Majlis Tahlil & Iftar Persatuan Saudagar-Saudagar Permata dan Penutian Wang Muslim Pulau Pinang (MJMC) di Dewan MJMC, Lorong Soo Hong dekat sini petang tadi.

 

 

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Preseiden MJMC, Dr. Anvar Hussain dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Dato’ Seri Dr. Mohd. Yussof Latiff.

 

 

Mengenai permohonan untuk menaik taraf bangunan MJMC yang disuarakan oleh Anvar, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memaklumkan bahawa perkara tersebut masih dalam proses.

 

“Ini kerana seperti mana kita tahu, bangunan berstatus warisan perlu mendapat pelbagai kelulusan dan kita (Kerajaan Negeri) akan menelitinya,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

 

Dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai perbincangan tentang pembahagian kerusi menghadai Pilihan Raya Negeri (PRN), Kon Yeow memaklumkan bahawa perkara itu hanya akan diputuskan melalui satu mesyuarat selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video: SIEW CHIA EN