Rancang bangunkan semula kawasan pembangunan terbiar untuk tingkat hasil negeri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang merancang untuk membangunkan semula kawasan pembangunan sedia ada yang terbiar secara menyeluruh dalam usaha meningkatkan hasil negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beberapa lokasi telah dikenal pasti bagi tujuan tersebut termasuk kawasan pesisir pantai di bahagian pulau dan Butterworth dekat Seberang Perai Utara.

“Pada peringkat permulaan, kawasan di Weld Quay dekat George Town akan ditrasformasikan sebagai George Town Central Business District (CBD) dengan presint kreatif dan teknologi yang diselaraskan di bawah program Daerah Digital Kreatif (CD2).

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga dalam kerangka untuk menjadikan Tapak Warisan Dunia di sekitar Lebuh Pantai sebagai hab penjanaan k-ekonomi (ekonomi berasaskan pengetahuan).

“Justeru, dengan matlamat penubuhan CD2 ini, Kerajaan Negeri akan memastikan segala kemudahan berkaitan seperti liputan rangkaian 5G dapat diperluaskan di daerah ini,” katanya di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan lebih banyak projek berdasarkan konsep perkongsian awam-swasta bagi memastikan penduduk negeri ini dapat menikmati pembangunan baharu bertaraf antarabangsa.

“Melalui konsep ini, penduduk Pulau Pinang dapat menikmati konsep pembangunan baharu dengan elemen teknologi terkini dalam tempoh yang singkat.

“Bagi memastikan hak Kerajaan Negeri terpelihara pula, pihak swasta akan disyaratkan untuk mengembalikan semula projek selepas tamat tempoh pajakan tanpa sebarang kos,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Dalam isu berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga merancang untuk menjadikan Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP 2) dekat Byram sebagai Taman Perindustrian yang baharu.

“Kerja-kerja menambun tanah bagi menyediakan tapak perindustrian fasa 1 seluas 200 ekar bagi plot-plot industri telah dimulakan pada Jun 2020 dan dijangka siap pada 2023.

“Kerja infrastruktur utama juga sedang dalam perancangan untuk ditender sebelum masuk ke peringkat pembinaan,” jelasnya lanjut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bajawa beberapa usaha telah giat dijalankan untuk menarik pelabur ke BKIP 2 dan Batu Kawan Timur merangkumi penyediaan jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi bagi mmenuhi keperluan industri.

“Selain itu, kita juga akan memastikan perancangan penempatan syarikat berdasarkan kategori aktiviti perniagaan dipatuhi aga konsep pembangunan di BKIP 2 terpelihara.

“Bahkan, kita akan mewujudkan kawasan perindustrian berkonsekan taman industri terurus dengan mengambil kira elemen bandar pintar dan keselamatan selain menyertai Expo Dubai 2020,” ujarnya.

Mengulas mengenai hasil cukai, Kon Yeow menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri turut memberikan tumpuan terhadap hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil bagi menambahkan hasil negeri.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat daripada sumbangan terbesar hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri pada tahun ini adalah daripada hasil bukan cukai berjumlah RM RM406.00 juta.

“Pada tahun ini Kerajaan Negeri berjaya membuat kutipan hasil setakat 30 November 2021 berjumlah RM617.38 juta iaitu peningkatan sebanyak RM111.36 juta atau 22 peratus berbanding anggaran tahun ini.

“Pecahan hasil tersebut mengikut komponen ialah hasil bukan cukai berjumlah RM406.00 juta atau 65.76 peratus, manakala hasil cukai hanya berjumlah RM129.89 juta atau 21.04 peratus

“Sementara terimaan bukan hasil pula adalah berjumlah RM81.50 juta atau 13.20 peratus daripada kutipan keseluruhan,” jelasnya sebagai menjawab soalan daripada ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memberitahu bahawa buat masa ini, Kerajaan Negeri tiada sebarang perancangan bagi kenaikan kadar cukai tanah dan cukai bagi petak atau blok sementara di Negeri Pulau Pinang.

“Kadar cukai tanah yang digunakan sekarang merupakan kadar yang telah disemak pada tahun 1994, dan pelaksanaanya bermula 1 Januari 1996. Selepas itu, tiada semakan cukai sehingga kini dilaksanakan walaupun kadar cukai tersebut telah digunakan selama 26 tahun,’’ tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN/AHMAD ADIL MUHAMAD