Rangka beberapa inisiatif legakan aliran trafik di Barat Daya – Exco

Admin

PADANG KOTA – Penyelarasan sistem lampu isyarat bagi mewujudkan ‘green wave’ merupakan antara inisiatif yang bakal dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk melegakan kesesakan lalu lintas di Daerah Barat Daya.

 

Menurut Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, penyelarasan semula ini akan melancarkan lagi aliran trafik dan dijangka mengurangkan kesesakan yang dialami.

“Antara perancangan-perancangan lain bagi melegakan kesesakan di kawasan Bayan Baru termasuklah penaiktarafan persimpangan di Jalan Tun Dr. Awang/Jalan Bukit Gambir dengan membina persimpangan bertingkat dan pembinaan laluan bawah (underpass) di Bulatan Bayan Baru.

 

“Kerja-kerja pembinaan ini akan dilaksanakan oleh pihak pemaju di bawah Projek Pembangunan Penang International Commercial City (PICC) dan dijangka siap pada tahun 2027,” ujarnya ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata, Pan Island Link (PIL) juga dilihat sebagai alternatif menghubungkan utara pulau ke selatan pulau melalui Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang mengalami kesesakan terutama pada waktu puncak.

 

“Dalam menyelesaikan isu kesesakan di Daerah Barat Daya (DBD), Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melaksanakan Projek Menaik Taraf Jalan Teluk Kumbar Daripada Dua (2) Lorong kepada Empat (4) Lorong.

 

“JKR akan menjalankan kajian trafik bertujuan mengenal pasti cadangan penguraian trafik yang bersesuaian.

 

“Kertas kerja lantikan perunding bagi kajian trafik ini telah diangkat dan sedang menunggu kelulusan Lembaga Perolehan, sementara itu JKR juga dalam proses melantik perunding bagi melaksanakan kerja-kerja ukur.

“Kerja-kerja reka bentuk akan dilaksanakan setelah kajian trafik dan kerja-kerja ukur selesai,” maklum Zairil ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

 

Difahamkan Kerajaan Negeri turut menyalurkan dana untuk kajian sebagai langkah sokongan kepada Kerajaan Persekutuan yang menaik taraf Jalan Teluk Kumbar tersebut.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT