Rangka Sports Master Plan, termasuk bagi tambah baik kemudahan sukan

Admin

BATU UBAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberi syor kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) untuk merangka Sports Master Plan termasuk dalam usaha menambah baik kemudahan fasiliti sukan di negeri ini.

Menurut beliau, pelan tersebut boleh dilakukan secara bersama melalui badan Kerajaan Negeri, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang mahupun dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebagai peminat dan penonton sukan, saya mendapati kemudahan sukan di Pulau Pinang adalah amat kurang, kalau ada pun keadaannya kurang memuaskan.

“Tapak ini (MSNPP) pun dibangunkan secara ad-hoc, mungkin saya boleh cadangkan dengan Exco Belia dan Sukan, mungkin kita boleh lihat master plan untuk sukan, tetapi saya bukan pakar.

“Daripada segi kemudahan MSNPP bersama Exco boleh merancang. Kita (Kerajaan Negeri) pun mengetahui bahawa ada banyak persaingan untuk dapatkan dana dan peruntukan, selagi tidak ada perancangan selagi tidak ada usaha untuk membida dana itu maka Kerajaan Negeri pun tidak akan tahu akan perkembangan sebenar,” ulasnya terhadap Pelan Tindakan Pelaksanaan COVID-19 MSNPP untuk beroperasi sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan kelak.

Kon Yeow menyatakan demikian pada lawatan ke MSNPP di sini tengah hari tadi.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua.


Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pembangunan kemudahan tersebut boleh dirancang dalam tiga hingga lima tahun akan datang bersama-sama pihak berkepentingan.

“MSNPP bersama dengan Exco mungkin boleh dapat lihat pelan tiga hingga lima tahun, sedikit-sedikit melalui dana sendiri atau kerjasama menerusi 3P iaitu private, public partnership serta sebagainya agar kemudahan sukan dapat dipertingkatkan lagi.

“Sekarang juga ada Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang Pulau Pinang bersama-sama PBT yang dilihat boleh menjadi rakan strategik bagi memajukan sukan di negeri ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berharap MSNPP berada dalam keadaan siap siaga sebaik sahaja PKPB ditamatkan dengan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.

Menyentuh mengenai penundaan Sukan Malaysia (SUKMA) ke tahun 2021, Kon Yeow berharap agar perkara tersebut tidak akan melunturkan semangat atlet ekoran melibatkan tempoh yang lama.

“Mereka tidak berlatih dan bertanding terlalu lama, jadi saya harap barisan atlet melihat penjadualan semula ini secara positif kerana mereka ada masa tambahan untuk membuat persiapan menghadapi SUKMA kelak,” seru Ahli Parlimen Tanjong itu sebagai kata-kata semangat.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar & Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI