Rasa terharu, Kon Yeow respons isu dinamakan semula calon Ketua Menteri

Admin
CHOW Kon Yeow

BAYAN LEPAS – Tuan Chow Kon Yeow hari ini mengaku berasa terharu selepas mendapat tahu Jawatankuasa Pemilihan Calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebulat suara mengekalkan namanya sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang sempena menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang kian kunjung tiba.

Kon Yeow berkata, pengumuman yang dimuat naik pada dinding Facebook peribadi Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke Soew Fook malam tadi sekali gus meredakan pelbagai desas-desus yang ditimbulkan oleh pihak tertentu belakangan ini.

“Saya berasa tenang walaupun banyak desas-desus di lapangan dalam satu dua minggu ini, namun akhirnya parti (DAP) telah membuat keputusan.

“Saya terharu dengan keputusan (Anthony Loke) itu, dan saya terharu dengan keputusan itu,” jelasnya kepada pemberita seusai merasmikan Majlis Pembukaan Pejabat Baru Commerz Trade Services (CRS) dekat GBS @ Mayang, Baru Lepas di sini pada 14 Jun 2023.

Di Facebook peribadi semalam, Siew Fook memberitahu bahawa Lim Guan Eng (Pengerusi Kebangsaan DAP), Gobind Singh Deo (Timbalan Pengerusi), Nga Kor Meng (Naib Pengerusi) dan M. Kulasegaran (Naib Pengerusi) terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa berkaitan serta “secara sebulat suara menamakan Saudara Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal yang kedua.”

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pengumuman yang dibuat Siew Fook itu bukan sahaja suatu pengiktirafan kepada dirinya sahaja, malah Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya bagi penggal pertama sebelum ini iaitu sejak 2018 hingga 2022.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk merumuskan (rekod) pencapaian Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan rancangan seterusnya (iaitu) menggariskan apa yang ingin kita lakukan sekiranya diberi kepercayaan dan memperoleh mandat baharu (untuk menubuhkan Kerajaan Negeri nanti),” ujarnya yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang merangkap Pengerusi PH Negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut merakamkan penghargaan kepada dua pertubuhan sivil iaitu Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang dan Liga Muslim Pulau Pinang yang khabarnya merancang untuk menzahirkan sokongan kepadanya sebagai calon Ketua Menteri sempena PRN kali ini.

Dalam acara persaingan, Kon Yeow dalam nada sederhana turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH atas kepercayaan yang diberikan sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Saya bersyukur dan menerima kepercayaan ini (dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang) dengan rendah hati,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, cabaran seterusnya adalah untuk menghadapi PRN Pulau Pinang yang amat mencabar serta memerlukan sokongan tidak berbelah-bahagi semua pimpinan, keahlian serta penyokong-penyokong.

“Kalau diberi mandat, Kerajaan (Negeri) yang dipimpin oleh saya akan mewakili nilai-nilai penting untuk membawa negeri Pulau Pinang ke hadapan iaitu nilai perpaduan dan bukan perpecahan, pembangunan dan bukan kemunduran, dan juga kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Saya amat komited untuk meneruskan segala usaha yang telah dimulakan sejak tahun 2018 dan sedia bekerjasama dengan semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pihak swasta, pergerakan masyarakat madani, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat tempatan serta pemegang taruh untuk membawa negeri dan rakyat ke tahap pembangunan yang tinggi,” ulasnya sebelum acara jerayawara sekitar kompleks makanan, New World Park dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, Kon Yeow dipilih menjadi Ketua Menteri serta memegang portfolio Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING