Rashid, Afif lincah futsal persahabatan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

SEBERANG JAYA – Aksi lincah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon pada perlawanan futsal persahabatan pejabat beliau dengan pejabat Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan mendapat sorakan gemuruh para penonton yang hadir.

Tidak kurang hebat adalah Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang turut berjaya menjaringkan beberapa gol kemenangan.

Mohd. Rashid berkata, anjuran tersebut umumnya bertujuan mengeratkan silaturahim antara kakitangan-kakitangan yang bertugas di kedua-dua pejabat berkenaan.

“Pada masa sama, kita juga dapat meningkatkan tahap kesihatan apabila melibatkan diri dalam bidang sukan selain mengeratkan hubungan persaudaraan antara kita semua,” jelasnya ketika ditemui Buletin Mutiara pada perlawanan tersebut di sini baru-baru ini.

Bagi Afif, beliau melihat perlawanan persahabatan tersebut sebagai inisiatif positif yang wajar dipraktikkan oleh semua jabatan Kerajaan Negeri mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Justeru, saya mengajak pejabat-pejabat lain, kalau berani, mari kita perbanyakan lagi perlawanan persahabatan seperti ini bagi menambah kenalan di samping menyihatkan tubuh badan,” nyatanya penuh semangat.

Memandangkan perlawanan tersebut atas dasar ‘suka-suka’, jumlah jaringan tidak dikira, namun kedua-dua pasukan jelas bermain dengan penuh semangat di samping berbalas-balas gol hingga tamat tempoh permainan selama dua jam.