Perbelanjaan wang MARRIS, Exco jawab ADUN Permatang Berangan

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG KOTA – Dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang disalurkan Kerajaan Pusat tidak pernah digunakan untuk membina jalan baharu di Pulau Pinang, mahupun menaik taraf mana-mana jalan di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Omar Abdul Hamid berkenaan peruntukan berkaitan.

“Wang MARRIS diutamakan untuk penyelenggaraan jalan dan kemudahan awam berkaitan, selain itu ianya juga digunakan sebagai dana-dana kecemasan jika terdapat mana-mana kerosakan jalan, saliran dan sebagainya,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Pulau Pinang Ke-13 baru-baru ini.

Kesempatan sama, Hock Seng turut memberi respons kepada Omar berkenaan pecahan peruntukan MARRIS yang diterima sejak tahun 2013 hingga 2016.

“Kerajaan Negeri menerima peruntukan RM208,242,665 dari Kerajan Pusat bagi dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dari tahun 2013 hingga 2016.

“Pada tahun 2013, kita (Kerajaan Negeri) menerima RM50,471,489; RM44,518,563 (2014); RM53,135,917 (2015); RM60,116,622 (2016).

“Kebiasaannya, peruntukan-peruntukan ini akan diagihkan kepada agensi-agensi seperti Jabatan Kerja  Raya (JKR) Pulau Pinang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulai Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),” jelasnya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Menurut Hock Seng, penggunaan peruntukan MARRIS akan dilaporkan secara bulanan dan tahunan kepada Kerajaan Pusat.